Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

R&R Temuduk Tempat  Persinggahan Popular Pengguna Pan Borneo

By 3 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: ROBIN JUNANG (Sarawak)

SRI AMAN,  3 Jan  (Malaysiaaktif) – Hentian  Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Temudok Sri Aman merupakan tempat persinggahan yang amat popular dan menjadi tumpuan pengguna jalanraya Pan Borneo. Lokasinya yang amat strategik iaitu berdekatan  dengan simpang tiga Jalan Kuching-Sri Aman-Sarikei. Ini menjadikan ia antara  hentian tumpuan bagi pengguna jalan raya merehatkan badan  serta menjamu selera.

Kawasan ini telah  dibangunkan pada awal tahun 2001 di atas tanah milik Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Aman. Pada awal pembinaannya  hanya terdapat beberapa buah gerai menjual makanan dan sebuah bangunan tandas yang agak sempit dan usang. Setelah lebih 18 tahun beroperasi kini  wajah gerai dan tandas berubah menjadi lebih ceria.

Gerai menjual makanan dan minuman yang tidak lekang dikunjungi pelanggan

Gerai menjual makanan dan minuman yang tidak lekang dikunjungi pelanggan

Hentian ini mempunyai tujuh buah gerai yang menjual berbagai juadah termasuk makanan tradisional masyarakat tempatan. Menu kegemaran ramai dan  enak adalah masakan nasi goreng dabai, pansuh ayam, terung Iban dan banyak lagi. Selain itu terdapat juga sebuah pasar mini milik Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Aman, gerai kuih-muih dan makanan panggang, aksesori pakaian, surau dan tandas awam.

Tandas awam yang berwajah baru, bersih dan selesa

Tandas awam yang berwajah baru, bersih dan selesa

Oleh kerana Hentian ini bukan tempat persinggahan bas penumpang rentas Jalan Pan Borneo maka masa operasinya hanya bermula pada jam 6.00 pagi sehingga 8.30 malam sahaja. Biasanya pengunjung tapak ini akan berganda jumlahnya pada hujung minggu, musim perayaan dan cuti sekolah. Menurut Sati Jagut, seorang penjaga tandas awam memberitahu pada hujung minggu pengguna tandas awam turut bertambah jumlahnya.

Bagi peniaga kuih dan ayam panggang pula, mereka mengagihkan jualan kepada tiga giliran masa, iaitu awal pagi, tengahari dan petang. Biasanya makanan panggang dijual pada sebelah petang sehingga malam. Menurut Nor, jualan kuih-muih dan panggang yang dijual lazimnya laris pada hari hujung minggu. Penjual minuman yang paling untung di sini kerana sebuah gerai minuman sahaja dibenarkan beroperasi oleh pemilik tempat ini.

Pada musim buah-buahan pula berbagai buah tempatan dijual dengan harga yang lebih murah. Buahan tempatan ini mendapat sambutan yang amat baik dari pengunjung kerana harga dan rasanya.  Trak mini dan khemah digunakan oleh penjual buah-buahan tempatan untuk berjual. Mereka biasanya beroperasi dari jam 7.00 pagi sehingga hentian ini tutup.

Walaupun kini hentian tersebut berdepan dengan persaingan dengan beberapa buah kedai   perniagaan yang berdekatan namun ia masih menjadi tumpuan ramai. Faktor yang menyebabkan tempat ini masih menjadi pilihan adalah kerana lokasinya yang strategik,  tandas awam yang bersih, kemudahan surau, pelbagai pilihan juadah serta menu tempatan yang menarik.

-ER

Tinggalkan komen anda