Lapor Salah Guna Undang-Undang Bukan Satu Hasutan – Tun M

ee4fe6bffd618d09d09e19f1112468445b838c5761558

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Aduan awam terhadap pihak yang menyalahgunakan undang-undang adalah sah dan tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai hasutan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu sepatutnya dilihat sebagai hak kebebasan bersuara.

“Rakyat boleh melaporkan mengenai penyalahgunaan undang-undang atau bercakap mengenainya secara terbuka.

“Daripada pemerintah kepada Perdana Menteri dan menteri, kepada penjawat awam dan rakyat biasa, kedaulatan undang-undang tertakluk kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di blognya, Chedet, hari ini dan menegaskan undang-undang asas Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia adalah badan undang-undang komprehensif yang menentukan struktur undang-undang Malaysia dari Yang di-Pertuan Agong kepada Raja-raja negeri, kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri serta badan yang diberi kuasa untuk memerintah dan menguatkuasakan.

“Tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapa pun daripada kedaulatan undang-undang.

“Terdapat mahkamah khas bagi Raja-raja, tetapi undang-undang yang digunakan pakai adalah sama yang dilaksanakan kepada rakyat biasa. Raja juga harus menghormati undang-undang.

“Amat membimbangkan apabila penyalahgunaan undang-undang secara berleluasa disalah tafsir sebagai pemberian imuniti,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara demokrasi iaitu pemerintahan rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat.

“Dengan persetujuan umum, perkara ini mengambil kira bentuk demokrasi berparlimen dengan Raja berperlembagaan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Ke arah ini, Perlembagaan dan undang-undang di peringkat yang berbeza diisytiharkan,” katanya.

Katanya, adalah sesuatu yang malang apabila beberapa pelanggaran undang-undang dilakukan tanpa ada tindakan diambil oleh agensi penguatkuasaan.

“Dengan kata lain, kedaulatan undang-undang diabaikan.

“Kesannya boleh diramal. Rakyat menderita akibat ketidakadilan. Perniagaan tidak boleh dilakukan dengan betul. Harta dirampas dan tindakan luar biasa dan haram dilakukan,” katanya.

Tegasnya, Pakatan Harapan berjanji untuk terus menegakkan undang-undang dan hak rakyat, sekali gus membela nasib rakyat yang ditindas.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, PH berjanji untuk memulihkan kedaulatan undang-undang.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa Dr Mahathir mengabaikan undang-undang apabila ia sesuai dengannya – BH Online / foto: Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...