Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Pewartaan Larangan Merokok Lindungi Golongan Bukan Perokok

By 8 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Noor Azian Saad (Kota Setar)

ALOR SETAR, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh, melancarkan Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok Peringkat Negeri Kedah, di sini semalam.

Ismail menjelaskan Kementerian Kesihatan telah mewartakan semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak sebagai Kawasan Larangan Merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983 berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

“Tujuan pewartaan larangan merokok di semua tempat makan adalah untuk melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok. Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia kepada Artikel 8, World Health Organization (WHO) Framework Convention on Tobacco Control (FCTC),” katanya ketika ditemui di sebuah kompleks perniagaan di sini.

Ismail (bertali leher) dan Norhizan (kanan) turut mengedarkan risalah kepada orang ramai semasa majlis perasmian semalam.

Ismail (bertali leher) dan Norhizan (kanan) turut mengedarkan risalah kepada orang ramai semasa majlis perasmian semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ini, taklimat kepada pengusaha premis tempat makan telah dilaksanakan di seluruh negeri ini melibatkan 2440 pengusaha bermula sejak bulan November 2018.

“Bermula 1 hingga 6 Januari 2019, seramai 80 pegawai penguatkuasa daripada 11 daerah telah membuat pemantauan dan penguatkuasaan melalui pendidikan ke arah pematuhan larangan merokok di tempat makan di seluruh negeri Kedah.

“Sejumlah 1278 premis makanan termasuk, restoran, gerai makan dan penjaja telah dijalankan penguatkuasaan, dengan sebanyak 547 notis amaran telah dikeluarkan terdiri daripada 522 kes gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 25 kes untuk kesalahan merokok dalam kawasan larangan merokok,” ujar Norhizan.

Norhizan turut berharap agar orang awam dapat membuat aduan kepada talian penting Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya terdapat perokok yang masih merokok di kawasan larangan merokok melalui aplikasi Whatsapp di nombor 010-8608949.

Orang awam turut boleh memaklumkan kepada talian penting ini sekiranya terdapat premis yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Kesihatan Awam, Dr. Shahrul Bariyah Ahmad, Pegawai Kesihatan Daerah Kota Setar, Ishak Hussain, Pegawai-Pegawai Kesihatan Daerah dan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa.

-SH

Tinggalkan komen anda