Skip to main content
HomeLabuan

Labuan Development Blueprint 2030 Akan Dikaji Semula

By 9 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Labuan Development Blueprint 2030 yang dilancarkan kerajaan terdahulu akan dikaji semula mengikut kesesuaian serta keadaan ekonomi semasa negara.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Sri Amir Hussein berkata, ada perancangan di dalam Labuan Development Blueprint 2030 ‘menelan kos yg terlalu tinggi & perlu dinilai semula.

“Kita sedang mengkajinya dan Blue Print harus ditafsirkan serta direalisasikan berdasarkan Master Plan yang kita hasilkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Agenda dalam Labuan Development Blueprint 2030 memang ada yang baik dan ada yang terlalu futuristik, memandangkan keadaan ekonomi semasa kita harus aplikasikan sesuatu yang lebih realistik untuk Labuan, “katanya yang ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan (PL) semalam, di Wisma Perbadanan Labuan.

Amir (kiri) memeriksa perbarisan kawalan kehormat Pasukan Penguatkuasa PL

Amir (kiri) memeriksa perbarisan kawalan kehormat Pasukan Penguatkuasa PL

Pada ucapannya sebelum itu, Amir berharap projek-projek pembangunan yang telah diluluskan kerajaan perlu disegerakan dan tidak berlaku kelewatan.

“Projek baru pembangunan yang telah diluluskan oleh Kerajaan kepada PL untuk dilaksanakan bermula tahun ini antaranya projek menaiktaraf perumahan untuk kakitangan PL dan membina dewan komuniti kampung Patau-Patau 1 perlu dipantau secara berterusan agar tidak terlewat dari jadual.

“Jika perkara ini berlaku menyebabkan rungutan dan tidak puas hati rakyat dan memberikan imej yang tidak baik kepada Kerajaan khususnya PL,” katanya.

Beliau turut meminta warga PL bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang dijangka lebih mencabar pada tahun 2019.

Amir (tengah),Ahli Lembaga Pengarah PL, Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal (tiga dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad (tiga dari kanan), bergambar kenangan bersama Ahli-Ahli Majlis Penasihat PL.

Amir (tengah),Ahli Lembaga Pengarah PL, Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal (tiga dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad (tiga dari kanan), bergambar kenangan bersama Ahli-Ahli Majlis Penasihat PL.

“Kita perlu menghadapi senario yang dihadapi oleh Kerajaan yang menghadapi kekangan sumber kewangan, tapi saya percaya perkara ini tidak membantutkan usaha kita untuk terus membangunkan Labuan.

“Melalui PL, kita telah berusaha untuk menjemput beberapa pelabur untuk datang ke Labuan melihat sendiri peluang-peluang yang berpotensi untuk dibangunkan di Labuan.

“Perkara ini perlu bagi mewujudkan ekonomi yang lebih menggalakkan dan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di Labuan,” katanya.

PL juga katanya perlu mempergiatkan lagi  industri pelancongan di Labuan seperti mengenalpasti beberapa produk utama pelancongan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Antara warga PL yang hadir sama pada Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan

Antara warga PL yang hadir sama pada Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan

“Saya difahamkan terdapat beberapa sesi perundingan mengikut sektoral telah dilaksanakan oleh PL untuk mengenalpasti ruang dan peluang sektor pelancongan untuk penambahbaikan akan datang.

“Promosi secara agresif perlu dilaksanakan secara berterusan dan konsisten lebih-lebih lagi apabila laluan baharu penerbangan ke Labuan dari Malindo Air telah diperkenalkan pada awal Ogos 2018 yang lalu,” jelasnya.

Beliau turut berkesempatan merasmikan  Kaunter Setempat PL yang baharu di Blok B, Tingkat Bawah, Wisma PL. Kaunter Setempat PL itu mempunyai persekitaran yang lebih selesa dan strategik serta mempunyai 14 jenis perkhidmatan.

Waktu operasi Kaunter Setempat PL yang baharu itu adalah kekal sama dengan yang sebelum ini iaitu Isnin hingga Khamis (8.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.00 petang hingga 4.00 petang) dan Jumaat (8.00pagi hingga 11.00 pagi dan 2.00 petang-4.00 petang).

EM

Tinggalkan komen anda