Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Lembaga Pengurusan Wakaf Mampu Bangunkan Ummah

By 9 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah yang ditubuhkan berkuat kuasa 1 Januari 2019 oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mampu membangunkan ummah di negeri ini.

Pengerusi Pusat Pengajian Darul Hasanah, Azihal Bangsawan berkata, wakaf merupakan cara yang dapat membangunkan ummah di negara ini.

“Dana daripada wakaf ini merupakan cara yang dapat membantu untuk membangunkan ummah dan sememangnya kita menantikan penubuhan Lembaga Pengurusan Wakaf Sabah yang secara tidak langsung dapat membantu pusat pengajian kami.

“Kami kira ini satu sambutan dan satu saat yang dinantikan di mana semua orang bercerita tentang wakaf akhirnya kita akan lihat sama umat Islam atau bukan Islam akan terbangun oleh instrumen wakaf ini.

“Tun Juhar turut memberi galakan dan motivasi kepada kami untuk membangun dan memperkasakan umat Islam di negeri ini selain berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan lebih erat pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, pada Isnin.

Tun Juhar (kiri) menerima kunjungan daripada pengurusan Pusat Pengajian Darul Hasanah

Tun Juhar (kiri) menerima kunjungan daripada pengurusan Pusat Pengajian Darul Hasanah

Azihal berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan bagi memaklumkan kepada Tun Juhar tentang penubuhan Pusat Pengajian berkenaan sejak empat tahun dahulu dan telah dirasmikan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar pada 6 Januari lepas.

“Darul Hasanah merupakan sebuah institusi wakaf sekolah menengah integrasi yang menggabungkan disiplin ilmu agama, Tahfiz Al Quran dan akademik dalam membantu dan membela nasib asnaf dan anak-anak yatim piatu di negeri ini.

“Pembinaan sekolah dan rumah ini merupakan wakaf daripada salah seorang guru di pusat pengajian ini iaitu, Rosman Idris yang telah diubah suai dengan kapasiti 42 orang pelajar sepenuh masa, lebih 100 orang kanak-kanak dan 50 orang pelajar dewasa dan tiada sebarang pembayaran yuran dikenakan kepada semua pelajar.

Bagi mendapatkan maklumat berkenaan pusat pengajian dan wakaf, orang ramai boleh melayari laman sosial Facebook Pusat Pengajian Darul Hasanah atau Facebook PU Umar Azihal Bangsawan atau menyalurkan sumbangan ke akaun Pusat Pengajian Darul Hasanah – MAYBANK 560027508061.

 

EM

Tinggalkan komen anda