Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Hentikan Meniru Watak Lelaki Lembut – Ustaz Don

By 9 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Asmidar Zainol/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat digesa menghentikan perbuatan meniru watak lelaki lembut dan wanita yang berperwatakan lelaki dalam sebarang persembahan, rancangan televisyen mahupun kandungan di media sosial.

Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, perkara tersebut perlu dibendung sebagai salah satu cara mencegah isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.

“Pada masa kini, kanak-kanak lebih terdedah kepada media sosial dan rancangan televisyen dan saya mohon kepada organisasi yang menghasilkan rancangan atau kandungan program agar tidak memasukkan watak lelaki lembut atau wanita berperwatakan lelaki.

“Kita dapati terdapat rancangan hiburan di televisyen yang memaparkan watak lelaki berpakaian perempuan sejak 10 tahun lalu dan berterusan sehingga sekarang.

Don(kiri) menjelaskan sesuatu kepada Tun Juhar

Don(kiri) menjelaskan sesuatu kepada Tun Juhar

“Bayangkan anak-anak kita yang menonton 10 tahun lalu, kalau umurnya pada ketika itu 8 tahun sekarang umurnya sudah 18 tahun, sekiranya dia mempunyai kecenderungan ke arah itu, adakah gejala itu dikatakan muncul secara tiba-tiba?

“Tidak, kerana ia adalah hasil daripada pembentukan masyarakat yang telah didedahkan sejak dari kecil, jadi kita perlu menghentikan perbuatan ini,” ujarnya.

Don juga menegaskan, alasan memenuhi keperluan manusia berhibur itu membuatkan perbuatan tersebut menjadi kebiasaan dan penyebab kepada masyarakat berdepan dengan masalah sosial khususnya LGBT.

Selain itu, Don turut menasihati orang ramai agar tidak bergurau tanpa sempadan menerusi pick-up line yang biasa diamalkan kini.

Ustaz Don ketika ditemui pemberita.

Ustaz Don ketika ditemui pemberita.

“Antara contoh lain adalah gurauan pick-up line dicipta untuk berhibur, tetapi adakah dengan membuat pick-up line itu maka kita boleh buat kepada isteri atau suami orang, itu satu kesalahan.

“Walaupun sekadar berhibur perbuatan itu adalah salah dan jangan kerana atas alasan itu kita menerima amalan tersebut seolah-olah ianya adalah normal dan diterima dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.

Don berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat bersama-sama Pusat Pengajian Darul Hasanah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahirudin di Istana Negeri, pada Isnin.

 

EM

Tinggalkan komen anda