Skip to main content
HomeSabah

JPN Sabah Sasar 24 KPI Tahun 2019

By 11 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Idris Sani Saberun/Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah meletakkan 24 Indeks Prestasi Utama (KPI) pada tahun ini merangkumi bidang iktisas dan pengurusan pentadbiran.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin berkata, antara yang diberi perhatian adalah peningkatan peratusan murid mencapai tahap minimum Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 sebanyak 58 peratus berbanding pencapaian 53.61 peratus pada tahun lalu.

“Turut diberi perhatian adalah pengurangan peratusan murid belum mencapai tahap minimum kesemua kertas UPSR 2019 dengan sasaran dua peratus berbanding 2.34 peratus pada 2018.

“Meningkatkan peratusan murid layak mendapat sijil dalam SPM dengan sasaran 88 peratus serta meningkatkan gred purata negeri (SPM 2019) daripada 5.51 peratus kepada 5.0 peratus,” ujarnya.

Mistirine berkata demikian semasa menyampaikan taklimat kepada 536 orang warga pendidik zon Pantai Barat Selatan pada Program Bicara Profesional Pengarah JPN Sabah 2019 di Auditorium Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah, pada Rabu.

Mistirine (tengah) menyampaikan sijil kepada Guru Besar SRJKC St James Kota Kinabalu (kiri) sambil diperhatikan Abidin (dua dari kanan) dan Mohd. Zaini (kanan)

Mistirine (tengah) menyampaikan sijil kepada Guru Besar SRJKC St James Kota Kinabalu (kiri) sambil diperhatikan Abidin (dua dari kanan) dan Mohd. Zaini (kanan)

Tambahnya, turut diberi tumpuan adalah peningkatan penguasaan murid tingkatan lima dalam mata pelajaran Pendidikan Islam terutama di Zon Pedalaman dengan sasaran KPI sebanyak 89 peratus serta peningkatan penguasaan Al-Quran murid tahun 6, daripada 73 peratus (2018) kepada 72.35 peratus.

JPN Sabah turut mensasarkan peningkatan bilangan sekolah menengah – Program Vokasional Menengah Atas dengan memperolehi kelulusan Pusat Bertauliah Cawangan daripada 10 pada 2018 kepada 15 buah sekolah pada tahun ini.

Peningkatan peratus sekolah mendapat tahap 3 Imersif persekitaran Bahasa Inggeris di sekolah dengan capaian 65 peratus berbanding capaian tahun lalu sebanyak 57.91 peratus.

Turut diberi perhatian adalah peningkatan peratus kehadiran murid ke sekolah dengan sasaran 93 peratus kehadiran berbanding capaian 2018 iaitu sebanyak 92.37 peratus serta peningkatan peratus bilangan guru di Sabah dalam kalangan anak watan dengan sasaran 88 peratus berbanding 87 peratus pada tahun lalu.

Pada majlis tersebut Mistirine turut menyampaikan sijil kepada sembilan orang guru besar yang mewakili sekolah masing-masing di atas pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan pengurusan sekolah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPN Sabah, Datuk Dr Mohd Kassim Mohd Ibrahim, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Abidin Marjan dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Mohd. Zaini Yanin.

 

EM

Tinggalkan komen anda