Tadbir Urus Yang Baik Tarik Pelaburan Asing – Azmin

WhatsApp Image 2019-01-10 at 9.26.31 PM
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang

GOMBAK, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Muhamed Azmin Ali menyatakan sistem dan tadbir urus yang baik akan dapat menarik pelabur asing ke dalam negara ini.

“Untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara, sudah tentu mereka ingin melihat satu sistem dan urus tadbir yang baik.

“Kalau pentadbiran itu bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, ini akan mengagalkan usaha kita menarik pelaburan,” katanya.

Jelas Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serius tentang perkara tersebut dan telah memimpin usaha untuk memerangi rasuah.

“Perdana Menteri berusaha memperkenalkan beberapa inisiatif untuk menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang telus, terbuka dan menentang rasuah.

Azmin (tiga dari kiri) bersama penerima sumbangan kemasyarakatan di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati (2) hari ini.

Azmin (tiga dari kiri) bersama penerima sumbangan kemasyarakatan di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati (2) hari ini.

“Ini akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur untuk mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa.

Azmin turut mengulas tentang laporan Moody’s Investors Service, yang menjangkakan peningkatan cabaran fiskal di Malaysia dengan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kita tidak nafikan bahawa negara pada hari ini bergelut dengan masalah fiskal kerana hutang negara yang terpaksa kita warisi daripada pentadbiran yang lama.

“Tetapi dengan inisiatif yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan pada hari ini, saya yakin kita akan dapat mengembalikan sistem kewangan negara ke landasan yang betul.

Namun menurut Azmin, pada masa yang sama negara harus melakukan penjimatan, berhemah dalam perbelanjaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbirannya.

“Kita harus menjamin satu prinsip ‘value for money’ dan sistem pembidaan terbuka, sekiranya ini kita lakukan saya yakin rating agensi antarabangsa akan melihat kesungguhan kerajaan memulihkan ekonomi dan kedudukan yang baik bagi negara Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kemasyarakatan di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati (2), Hulu Kelang, di sini hari ini.

Di majlis tersebut beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) menerima sumbangan yang diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pak’Wan Teh; Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim; ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

 

-NAZ
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...