Skip to main content
HomeLabuan

Ibu Bapa Disaran Bekerjasama Dengan Pihak Sekolah

By 11 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Para ibu bapa dinasihat untuk sentiasa memberikan kerjasama dan mencari jalan penyelesaian dengan cara yang baik dengan pihak sekolah jika menghadapi sebarang masalah.

Menurut Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, para ibu bapa juga dimohon untuk memantau perkembangan anak-anak di rumah.

“Para ibu bapa boleh membantu anak-anak seperti menyusun buku-buku mengikut jadual, memastikan peralatan menulis mencukupi serta memupuk minat membaca buku dalam diri anak-anak.

Yunus (tengah) bersama Anita (kiri) menyampaikan hadiah sukaneka kepada Murid Tahun Satu

Yunus (tengah) bersama Anita (kiri) menyampaikan hadiah sukaneka kepada Murid Tahun Satu

“Budaya membaca mestilah dipupuk di rumah bertetapan dengan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berhasrat mahu menjadikan Malaysia sebuah Negara Membaca menjelang tahun 2030.

“Jangan biarkan anak-anak lalai dengan gadjet yang canggih seperti permainan video atau telefon bimbit sehingga merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka pada masa akan datang,” katanya semasa merasmikan Majlis Penangguhan Program Transisi Tahun Satu 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu, pagi tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Unit Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan, Yunus Yussof.

Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Satu, Anita Shyamini S. Azman berkata, Program Transisi Tahun Satu merupakan program yang dirangka sebagai wadah membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan peralihan dari pendidikan tidak formal ke pendidikan secara formal.

“Antara tujuan lain program ini adalah membantu murid-murid menyesuaikan diri dengan persekitaran, guru-guru dan kawan-kawan baharu dalam masa singkat seterusnya dapat meningkatkan minat serta semangat murid untuk datang ke sekolah.

“Program ini juga membolehkan guru-guru menyelaras keperluan kognitif, emosi dan jasmani murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara formal.

Antara ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut

Antara ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut

“Program ini juga diharap mampu membantu semua murid  memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu melalui tahap pencapaian yang hampir sama walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Hadir sama   Ketua Unit Perhubungan, Pendaftaran dan Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan Labuan, Zaliha Mohd Salleh dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pekan Satu, Mamduh Zakaria.

 

EM

Tinggalkan komen anda