Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

‘Maju Bersama’ Kerajaan Negeri Selangor

By 14 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

PETALING, 13 Jan (Malaysiaaktif) – “Dalam konteks ‘maju bersama’, kita ingin mengajak semua sektor dan bidang untuk bergerak bersama-sama ke hadapan membangunkan negeri, memakmurkan rakyat, merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri”, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika berucap pada Perhimpunan Pagi Menteri Besar Selangor Dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Bersama Penjawat Awam Daerah Petaling bertempat di Kompleks Pejabat Daerah Petaling kelmarin.

” Dalam belanjawan lepas, kita telah menggariskan beberapa strategi supaya negeri kita ini kekal seimbang sama ada dalam fokus pembangunan atau fokus dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat di negeri Selangor dan kita akan pastikan tiada kelompok yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri”, tegas Amirudin.

WhatsApp Image 2019-01-13 at 11.05.48 AM

Menurut beliau lagi, “kali ini kita ingin melangkah setapak lagi bahawa kemajuan dan kejayaan yang diperolehi oleh kerajaan negeri harus diterjemahkan kepada program, aktiviti ataupun polisi yang akhirnya membawa kejayaan dan kemakmuran rakyat di negeri Selangor”.

 

“Jika dunia berubah, keadaan berubah dan kita masih di takuk lama serta menggunakan kaedah lama pasti kita akan ketinggalan dalam mengejar arus peredaran semasa yang semakin hari semakin moden dan mencabar”, ujar beliau.

“Pertemuan kita pada awal tahun 2019 ini wajarnya dapat memberi manfaat kepada kita dan seharusnya dapat memberikan arah dan hala tuju penting kepada kita dalam meneruskan tahun 2019 ke arah yang lebih cemerlang, ke arah pembangunan yang lebih mampan dan meneruskan reputasi dan taraf negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan kemajuan dapat dikongsi bersama dengan masyarakat dan rakyat yang tinggal di negeri Selangor”, kata Amirudin lagi.

Kira-kira 200 penjawat awam yang hadir pada perhimpunan pagi pada kali ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Noor Azmie Diron dan ahli-ahli Majlis Mesuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda