Skip to main content
Berita TempatanHomePahang

Lebih 20,000 Pelajar MRSM Penerima Bantuan Mara

By 15 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

BENTONG, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih separuh atau 20,300 daripada keseluruhan 37,000 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sedia ada adalah penerima bantuan kewangan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini termasuk bantuan di bawah program Bantuan Untuk Pendidikan Mara (BUDI) dikhaskan kepada 2,500 pelajar miskin tegar yang menerima tajaan sekurang-kurangnya RM2,500 setahun.

“Ada sebahagian pelajar dapat bantuan wang saku sahaja RM50 sebulan melibatkan 11,000 pelajar, dan ada pelajar dapat duit poket dan mereka dikecualikan bayaran caruman RM60 sebulan yang jumlahnya seramai 6,800 pelajar.

“Maknanya, lebih separuh daripada pelajar MRSM adalah penerima bantuan kewangan Mara dalam pelbagai bentuk,” katanya kepada Bernama selepas lawatan kerja sempena pendaftaran pelajar Tingkatan Satu MRSM Bentong, di sini hari ini.

Rina berkata Mara menjangkakan bilangan penerima bantuan pada tahun ini akan bertambah berikutan peratusan jumlah pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) meningkat hampir 70 peratus berbanding 58 peratus tahun lepas.

Beliau berkata kos operasi purata bagi setiap pelajar MRSM setiap tahun dianggarkan sekitar RM16,000.

Dalam pada itu, Rina berkata pendaftaran pelajar kumpulan kedua akan diadakan pada 21 Jan ini (Isnin depan) selepas Mara mengenal pasti jumlah kekosongan yang masih perlu diisi di MRSM seluruh negara.

Seramai 178 pelajar ditawarkan kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM Bentong dan 13 daripadanya adalah pelajar bukan Bumiputera.

MRSM Bentong menempatkan jumlah keseluruhan 780 pelajar dengan 18 pelajar bukan Bumiputera dan tiga pelajar Orang Asli.

MRSM Bentong menawarkan program teknikal dengan matlamat menjadi pusat teknikal dan robotik yang unggul dengan mengaplikasikan modul sains kejuruteraan seawal Tingkatan Satu. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda