Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Abdul Khair dan Nor Faizah; Qari,Qariah Negeri Selangor 2019

By 27 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

SHAH ALAM, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Abdul Khair Jalil dan Nor Faizah Panut diumumkan qari dan qariah terbaik pada Pertandingan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019. Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Haji Haris Kasim.

Qari dan qariah terbaik membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala iringan, sepersalinan pakaian, sijil penyertaan dan pakej mengerjakan ibadah umrah.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Sultan Selangor bertempat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam kelmarin. Turut hadir bersama adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Mufti Selangor, Datuk Haji Mohd Tamyes Abd. Wahid.

Qari terbaik Selangor 2019, Abdul Khair Jalil

Qari terbaik Selangor 2019, Abdul Khair Jalil

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam ucapannya menyatakan bersesuaian dengan penganjuran pada kali ini yang bertemakan “Menyantuni Umat Membawa Rahmat” amat berharap agar jawatankuasa penganjuran program ini dapat meneruskan kegemilangan al-Quran di samping memperkukuhkan jalinan silaturahim antara satu sama lain.

“Dalam menyantuni umat, Allah mengingatkan kita supaya menjaga hubungan silaturrahim sesama umat manusia dan Rasullulah sendiri melarang bibit permusuhan, pertengkaran, perbalahan dan pertikaian sesama muslim” tegas Amin selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Selangor pada tahun ini.

Qariah terbaik Selangor 2019, Nor Faizah Panut

Qariah terbaik Selangor 2019, Nor Faizah Panut

Amin turut mengajak masyarakat secara umumnya untuk mengukuhkan ukhwah dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup.

“Marilah kita sama-sama mempertahankan keharmonian dan perpaduan ummah dan juga mempertahankan kesucian akidah dengan memperkukuhkan ukhwah dalam kalangan umat Islam dengan al-Quran dan hadis sebagai panduan yang menyuluh kita sepanjang zaman,” tambahnya.

Seramai 69 peserta menyertai pertandingan tilawah al-Quran dan hafazan dari seluruh negeri Selangor pada kali ini dan johan bagi pertandingan ini akan mewakili negeri tersebut ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan pada 17 hingga 22 Mac depan di Negeri Sembilan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda