Skip to main content
Berita TempatanHomeKedah

Keistimewaan Kopi Kampung Pak Mat

By 28 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Menjadi satu-satunya pengusaha kopi di Kampung Belantik, Mohd Sabiah atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Mat mengusahakan perniagaan tersebut sejak 1981 lagi.

Keistimewaan kopi kampung Pak Mat adalah ianya diproses seratus peratus menggunakan kaedah tradisional.

Menurut Pak Mat, pada awalnya beliau mempelajari teknik membuat kopi sekadar untuk kegunaan harian semata-mata.

“Saya mempelajari cara membuat kopi ini daripada seorang rakan. Atas galakan keluarga dan rakan-rakan, ia kini menjadi sumber rezeki kami sekeluarga.

Pak Mat dibantu isterinya, Sabariah Wahab melakukan sendiri penghasilan kopi ini bermula daripada proses menjemur buah kopi sehinggalah siap ditumbuk.

Lesung kaki yang masih digunakan oleh Pak Mat dalam menghasilkan kopinya.

Lesung kaki yang masih digunakan oleh Pak Mat dalam menghasilkan kopinya.

“Jika 20 tahun dahulu, kami menggunakan lesung tangan untuk menumbuk biji kopi namun begitu atas faktor usia dan kesihatan, kami beralih kepada lesung kaki yang lebih mudah.

“Kopi yang dihasilkan cuma menggunakan biji kopi, gula putih beserta sedikit campuran gula merah tanpa bahan campuran yang lain. Ini bagi mengekalkan rasa kopi yang asli,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya, di sini pagi tadi.

Menceritakan proses awal penghasilan kopi, Pak Mat berkata, buah kopi yang digunakannya adalah daripada jenis Robusta dan Liberica yang dibeli daripada pembekal di Baling dengan harga RM13 sekilogram.

“Jika dulu senang untuk kita dapatkan buah kopi namun kini sukar untuk mendapatkannya malahan ada generasi muda yang tidak pernah melihat buah ataupun pokok kopi itu sendiri.

“Buah kopi tersebut perlu dijemur sehingga kering bagi mendapatkan biji kopi yang berkualiti. Kita kena pastikan ia betul-betul kering bagi mendapatkan lapisan isi yang paling dalam. Proses menjemur pula memakan masa hampir seminggu,” jelasnya lagi.

Serbuk kopi kampung yang telah siap dihasilkan.

Serbuk kopi kampung yang telah siap dihasilkan.

Setelah kering, buah kopi akan ditumbuk untuk membuang kulit serta mengeluarkan isi dalamnya.

“Selesai proses terbabit, baharulah biji kopi digoreng tanpa minyak sampai masak kehitaman. Proses ini juga mengambil masa sehingga dua jam dan perlu dijaga supaya tidak rentung. Paling penting, bahagian dalamnya juga mesti masak.

“Fasa seterusnya adalah menyediakan bahan untuk membuat karamel iaitu campuran gula putih dan gula merah. Kedua-dua bahan tersebut perlu dimasak terlebih dulu sebelum dimasukkan biji kopi,” tambahnya.

Ujar Pak Mat lagi, setelah adunan likat, campuran kopi yang sudah digoreng tadi akan disebatikan. Setelah sejuk, adunan tersebut akan ditumbuk hingga lumat.

Biarpun mendapat permintaan banyak pihak untuknya mengkomersialkan kopi kampung ini, beliau hanya memberikan tumpuan kepada pasaran tempatan dan pelanggan tetap sahaja. Tambahan pula dia perlu bersaing dengan produk kopi campuran yang jauh lebih murah dan mudah didapati di pasaran.

-SH

Tinggalkan komen anda