Skip to main content
HomeJohor

Penduduk Resah Pencerobohan Gajah Berterusan

By 28 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/ foto: Shahqrul Azim Shaari/ Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI , 28 Jan (Malaysiaaktif) – Sekumpulan gajah liar dianggarkan sebanyak 33 ekor mula menjadikan Kampung Lukut, di sini sebagai tempat ‘permainan’ mereka.

Konflik gajah dengan manusia acapkali berlaku di daerah ini namun keadaan ini semakin meruncing apabila
gajah liar menceroboh ke dalam kawasan kediaman dan kebun penduduk kampung, serta memusnahkan tanaman.

Tanaman kelapa yang diusahakan Puan Hasnah Safar yang tumbang setelah dicerobohi gajah

Tanaman kelapa yang diusahakan Puan Hasnah Safar yang tumbang setelah dicerobohi gajah

Berikutan itu, satu sesi penerangan dan dialog di antara pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor bersama penduduk kampung telah diaturkan semalam, bertempat di Dewan Semerah Padi, Kampung Lukut. Turut hadir Exco Kesihatan, Alam Sekitar & Pertanian Negeri Johor, Sahruddin Jamal.

Beliau dalam ucapannya menyatakan, “Santuari gajah bagi Fasa 1 yang telah siap dibina di Jalan Lombong, Kota Tinggi hanya mampu memuatkan sebanyak 30 ekor gajah sahaja. Santuari yang dibina ini tidak mampu menempatkan semua gajah di daerah ini. Sehubungan itu, jawatankuasa bertindak bagi menyelesaikan permasalahan di kampung ini akan diwujudkan bagi menyelaraskan tindakan semua pihak dalam menangani isu berkenaan.”

Beliau turut menambah, pihak kerajaan akan membantu para penduduk yang terjejas akibat pencerobohan gajah ini. “Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi bantuan sagu hati secara one-off kepada isi rumah yang terjejas. Namun yang penting, aduan perlu dibuat kepada pihak polis terlebih dahulu sebagai bukti pencerobohan gajah yang berlaku,” katanya lagi.

Mohd Hakimi Hanafi, Pegawai PERHILITAN memberi penerangan berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan apabila berhadapan dengan gajah

Mohd Hakimi Hanafi, Pegawai PERHILITAN memberi penerangan berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan apabila berhadapan dengan gajah

Taklimat berkenaan pencegahan dan kawalan pencerobohan telah disampaikan oleh Pegawai PERHILITAN, Mohd Hakimi Hanapi. Beliau telah menerangkan langkah-langkah jangka pendek dan panjang yang boleh dibuat oleh penduduk kampung ketika terserempak dengan kawanan gajah berkenaan. Beliau bersama-sama Pegawai Daerah Kota Tinggi turut berdialog dengan para peserta berkenaan isu ini.

Salah seorang peserta, Hassan Rasid telah membangkitkan mengenai isu pembalakan di kawasan berdekatan yang telah menyebabkan gajah-gajah liar ini keluar dari hutan. Isu ini telah dijawab oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.

“Lesen pembalakan yang telah diluluskan dahulu ini akan tamat pada 31 Januari 2019. Diharapkan selepas ini, isu ini akan selesai dan gajah dapat kembali berada di habitat asal mereka,” katanya.

Menurut seorang penduduk kampung yang ditemui Malaysia Aktif, Amran Saari, 53, berkata, gajah-gajah liar ini akan mula aktif masuk ke kampung ini bermula jam 6.00 petang sehingga pagi keesokannya.

Salah seorang peserta bertanyakan soalan kepada Pegawai PERHILITAN

Salah seorang peserta bertanyakan soalan kepada Pegawai PERHILITAN

“Penduduk kampung mengambil inisiatif sendiri untuk menghalau gajah dengan mengadakan kawalan di setiap pelusuk kampung sepanjang malam. Kami risaukan keselamatan penduduk kampung ini kerana sifat gajah ini tidak boleh dijangka,” tuturnya lagi.

Seorang lagi penduduk kampung yang ditemui, Hasnah Safar, 58, berkata kawasan rumahnya telah dimasuki oleh haiwan berkenaan pada minggu lepas dan turut memusnahkan tanaman kelapa yang diusahakannya.

“Gajah ini mungkin kelaparan dan masuk ke kawasan rumah saya untuk makan umbut kelapa. Namun kesannya telah menyebabkan pokok kelapa tumbang dan pagar turut musnah. Saya berharap kerajaan dapat membantu dalam memberi sumbangan bagi membaiki pagar ini,” ujarnya.

Turut hadir pada program ini ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan Pengarah PERHILITAN Negeri Johor, Jamalun Nasir Ibrahim.

EM

Tinggalkan komen anda