Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Titik KM0.0 Lebuhraya Pan Borneo Jadi Tumpuan

By 10 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan

 Laporan/Foto: Luhat Ajang (Sarawak)

SEMATAN, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Semenjak  jajaran Lebuhraya Pan Borneo Telok Melano ke Sematan dirasmikan pada 26 Januari 2019, Kilometer 0.00 Telok Melano terus mendapat kunjungan dari pengunjung tempatan dan luar Sarawak. Keterujaan untuk sampai ke titik permulaan Lebuhraya Pan Borneo serta  menyaksikan keindahan pantai di Kampung Telok Melano telah mengundang ratusan  pengunjung saban hari lebih-lebih lagi pada hujung minggu dan hari cuti umum. 

Mohd Nazib dan isteri bergambar kenangan di papan tanda KM0.00

Mohd Nazib dan isteri bergambar kenangan di papan tanda KM0.00

Bersempena dengan cuti Tahun Baharu Cina dan hujung minggu yang panjang telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasangan dari Semporna, Sabah iaitu Mohd Nazib bin Abdul Luman dan Noredah binti Basani  mungkin antara pasangan pertama dari Semporna Sabah yang menjejakkan kaki di Telok Melano ini.

Menurut Nazib yang bertugas sebagai juruteknik swasta di Semporna, sudah menjadi impian beliau dan isteri untuk menjejak kaki di hujung peta Sarawak iaitu Telok Melano Setelah siapnya fasa pertama dari Sematan ke Telok Melano sepanjang 32.77 Kilometer, maka impiannya dapat ditunaikam. Pasangan ini yang lebih gemar mengembara dengan kenderaan sendiri sambil menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

“Saya berharap agar projek lebuhraya siap sepenuhnya lebih awal bagi memudahkan perjalanan pengguna jalan raya Sabah dan Sarawak”, kata Nazib merujuk kepada ucapan Menteri Kerja Raya Malaysia, Baru Bian yang memberitahu projek ini akan siap sepenuhnya menjelang Jun 2021 semasa majlis perasmian pada 26 Januari lepas.

Nazib yang sudah mengunjungi hampir keseluruhan Sarawak,  sama ada atas tugas rasmi mahupun melawat saudara mara mengakui bahawa menjejakkan kaki di Telok Melano merupakan suatu kepuasan dan kebanggaan baginya kerana telah berjaya sampai ke titik permulaan Lebuhraya Pan Borneo yang amat dinanti-nantikannya selama ini.

Tambah Nazib lagi, beliau tak sabar-sabar menanti pembinaan lebuhraya yang bermula dari Telok Melano, Sarawak hingga ke Tawau, Sabah ini siap secepat mungkin setelah merasai sendiri keselesaan memandu sepanjang jajaran Sematan ke Telok Melano. 

Bagi isterinya Noredah, menjadi suatu kebanggaan sebagai rakyat Malaysia untuk sama-sama menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi rakyat Sabah mahupun Sarawak tanpa mengira fahaman, agama dan bangsa.

“Dalam menikmati semua kurniaan Tuhan ini, biarlah kita sama-sama memelihara dan mengekalkannya untuk generasi akan datang. Aspek kebersihan juga perlu dijaga khasnya di setiap tempat yang kita kunjungi. Sensitiviti masyarakat tempatan juga haruslah dihormati”, sampuk Noredah yang telah bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Sri Aman selama 11 tahun.

Sementara itu, beberapa orang penduduk Kampung Pueh iaitu salah sebuah perkampungan etnik  Salako berhampiran lebuhraya ini melahirkan kerisauan keselamatan pengguna lebuhraya raya ini. Mereka berharap agar setiap pengguna memandu secara berhemah lebih-lebih lagi apabila melalui kawasan kampung.

Salah seorang penduduk yang hanya dikenali dengan panggilan Pak Aii menyeru agar pengguna kenderaan bermotosikal lebih berhati-hati. Pak Aji yang bekerja sebagai nelayan percaya ekonomi masyarakat setempat khasnya nelayan sepertinya akan bertambah setelah siapnya lebuhraya ini.

“Jangan jadikan lebuhraya ini sebagai tempat berlumba dan seterusnya meragut nyawa. Pandu cermat jiwa selamat”, tegas Aji mengingatkan.

Diharapkan agar aspek keselamatan diambil berat oleh semua pihak. Gunalah kemudahan dengan sebaik-baiknya. 

 

Tinggalkan komen anda