Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Cuaca Panas Rekod 33 Kes Tangkapan Ular di Sik

By 10 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/APM Daerah Sik (Sik)

SIK, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Cuaca panas
belakangan ini bukan saja memberi kesan kepada kesihatan manusia bahkan turut memberi kesan kepada haiwan liar termasuklah reptilia sekaligus boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Sik, Lt. (Pa) Haisul Aishah Mohd Napiah, sepanjang bulan Januari hingga Februari sebanyak 33 kes tangkapan ular direkodkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik.

“Berikutan cuaca panas haiwan ini keluar bagi mencari tempat perlindungan terutamanya di kawasan yang lebih sejuk. Haiwan ini juga akan mencari habitat baharu sekiranya dirasakan kawasannya terancam.

“Sebagai langkah persediaan, semua anggota akan menghadiri kursus bagi menangkap ular di pusat-pusat Latihan Pertahanan Awam yang terpilih. Ia bertujuan bagi memantapkan lagi kemahiran menangkap haiwan berdarah sejuk ini dengan menggunakan peralatan khas,” jelas Haisul ketika ditemui pemberita.

Operasi menangkap ular dilakukan oleh anggota APM yang terlatih dengan menggunakan peralatan khas.

Operasi menangkap ular dilakukan oleh anggota APM yang terlatih dengan menggunakan peralatan khas.

Menurut Haisul lagi reptilia yang ditangkap akan dibawa pulang ke pejabat APM Sik serta diserahkan kepada Jabatan Perhilitan daerah untuk tindakan selanjutnya.

“Ular biasanya gemar menyorok di dalam tempat yang sejuk seperti kasut, almari, bawah katil serta bilik air. Oleh itu, orang ramai disaran agar berhati-hati ketika memakai kasut serta mengambil barang di tempat-tempat yang disebutkan tadi.

“Meskipun statistik tangkapan masih terkawal, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati dan tidak mengambil sikap sambil lewa,” tambahnya.

Haisul turut menasihati orang ramai agar tidak bertindak sendirian sekiranya terjumpa haiwan ini kerana ia boleh mengancam nyawa, sebaiknya orang ramai digesa untuk menghubungi APM bagi menangkap haiwan tersebut.

-SH

Tinggalkan komen anda