Skip to main content
Berita TempatanHomePerlis

SBGP Bantu Empat OKU Perlis

By 12 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM115,160 telah berjaya disalurkan kepada empat orang pemohon geran di bawah Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) di negeri Perlis yang bertujuan memperkasakan ekonomi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar, golongan istimewa ini perlu diberi peluang untuk menceburkan diri
dalam dunia perkerjaan khususnya bidang keusahawan agar mereka juga mampu memberi sumbangan kepada negara.

“Walaupun mereka ini tergolong dalam kategori OKU tetapi mereka juga mempunyai semangat atau sikap yang tidak bergantung kepada bantuan, belas kasihan dan menjadi beban kepada orang lain.

Mahfuz sempat beramah mesra dengan pengunjung karnival.

Mahfuz sempat beramah mesra dengan pengunjung karnival.

“Mereka juga mahu bekerja, berdikari dan sama-sama memainkan peranan dalam masyarakat,” ujarnya ketika merasmikan Program Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawan Insan Istimewa bertempat di Utan Aji, di sini hari ini.

Mahfuz turut menyeru agar golongan kurang upaya ini mendapatkan persijilan serta latihan secara formal dengan mengikuti program-program latihan dari Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti serta beberapa lagi pusat latihan yang terdapat di negara ini .

“Pada tahun lepas, seramai 59 orang penerima dari seluruh negara telah menerima bantuan SBGP-OKU berjumlah lebih RM1.9 juta yang sekaligus membuka peluang kepada usahawan OKU ini untuk turut mengajikan pekerja-pekerja OKU yang lain bawah kendalian mereka.

Khairul Nizar (empat dari kiri) bersyukur kerana dengan bantuan ini, beliau dapat membina premis memproses roti arab di kampungnya.

Khairul Nizar (empat dari kiri) bersyukur kerana dengan bantuan ini, beliau dapat membina premis memproses roti arab di kampungnya.

Bagi Mohd Khairul Nizar Serpana, 41, yang merupakan salah seorang penerima bantuan pada majlis tersebut menjelaskan, beliau sangat berterima kasih kepada Jabatan Tenaga Kerja kerana telah menghulurkan bantuan berjumlah lebih dari RM70,000 bagi membolehkannya mengusahakan perusahan makanan.

“Syukur dengan berkat kesabaran dan usaha yang tidak putus, saya dan isteri dapat menjana pendapatan lebih daripada RM2,000 sebulan dan kami juga dapat menyediakan pekerjaan kepada seorang lagi OKU di bengkel ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Program anjurkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk warga tempatan seperti temuduga pekerjaan daripada sektor swasta, ceramah motivasi, kaunter promosi dan khidmat nasihat, pameran berkaitan latihan serta produk jualan.

-SH

Tinggalkan komen anda