Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

MyDigitalH2O Pacu Kesihatan Digital Warganet

By 13 Februari 2019Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui CyberSecurity Malaysia telah hadir dengan beberapa program dalam mempromosikan kesedaran keselamatan internet melalui Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) edisi Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, kempen Health to Others (H2O) bertujuan mengoptimumkan kesihatan digital diri sendiri dan dalam masa yag sama membantu orang lain di dunia digital untuk membentuk kesejahteraan siber.

“Kempen ini memberi tumpuan kepada golongan remaja di mana mengikut statistik menunjukkan seramai 34-35 peratus pengguna internet dalam kalangan remaja mengalami ketagihan internet.

“Mereka ini menggunakan sehingga enam hingga tujuh jam sehari untuk melayari internet dan ini merupakan satu perkara yang tidak sihat,” katanya ketika sidang media selepas pelancaran Sambutan Hari Keselamatan Internet 2019, di sini hari ini.

CyberSecurity Malaysia menerima sebanyak 10,699 insiden keselamatan siber tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, penipuan mencatatkan pelaporan tertinggi sebanyak 5,123, cubaan pencerobohan (1,805), kod berbahaya (1,700) serta pencerobohan dan gangguan siber, masing-masing 1,160 dan 356 insiden.

Dalam pada itu, Eddin menjelaskan masih belum ada sebarang ketetapan dalam mengharamkan jualan kotak tv android atau android box yang boleh diperolehi di pasaran kini.

“Kita masih dalam peringkat kajian dan perbincangan sedang dibuat di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) samada sesuai atau tidak untuk dilaksanakan,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda