Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

30 Tahun Tanpa Jemu

By 14 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Tugas sebagai guru al-Quran sukarela bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai wira yang tidak didendang bahkan mereka layak diangkat sebagai wira dalam kalangan komuniti setempat.

Ramlah Ali, 61, seorang guru al-Quran telah menabur bakti serta memberi khidmat secara sukarela demi pembangunan masyarakat setempat sejak 10 tahun yang lalu.

Ustazah Ramlah atau lebih mesra disapa Makteh berkata, dia ikhlas mengajar dan tidak meletakkan sebarang bayaran. Niatnya adalah untuk pembangunan al-Quran serta bagi melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran.

“Makteh tidak pernah meletakkan sebarang harga untuk setiap pelajar, terpulanglah berapapun bayaran yang diberi Makteh terima dan sekiranya tidak mampu untuk bayar, tidak mengapa. Makteh betul-betul niat untuk mengajar tanpa mengharapkan bayaran mahupun balasan,” ujarnya yang ditemui ketika mengajar al-Quran di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sik, semalam.

Ramlah tidak pernah jemu mencurahkan bakti kepada masyarakat melalui pengajaran al-Quran walaupun sudah lama bersara.

Ramlah tidak pernah jemu mencurahkan bakti kepada masyarakat melalui pengajaran al-Quran walaupun sudah lama bersara.

Menurut Ramlah, membaca al-Quran dengan bacaan dan tajwid yang betul adalah tuntutan agama.

“Sebelum bersara, saya memasang impian untuk menjadi suri rumah sepenuh masa namun begitu selepas bersara lain jadinya. Saya mula menerima tawaran daripada masjid-masjid serta orang persendirian bagi mengadakan kelas serta mengajar al-Quran dan demi cinta terhadap al-Quran saya tekad untuk teruskan mengajar walaupun dihalang anak-anak.

“Bagi mereka sudah sampai masanya untuk saya berehat dan duduk di rumah tapi saya bulatkan nekad demi perjuangan agama,” ujar ibu kepada lima cahaya mata ini.

Ramlah memulakan tugas sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sejak tahun 1982 dan mempunyai pengalaman selama 30 tahun sebagai guru KAFA.

Bagi memenuhi setiap kelas dan undangan, Ramlah akan keluar rumah seawal pukul 9 pagi dan akan pulang ke rumah sekitar 9 malam. Ramlah turut mengakui banyak permintaan untuk kelas al-Quran tidak dapat dipenuhi atas faktor kekangan masa.

“Berpanas dan berhujan sudah menjadi kebiasaan bagi Makteh dan suami, apatah lagi kami berulang-alik menaiki motosikal dari rumah ke rumah pelajar kami,” jelasnya yang sering ditemani suami, Muhammad Abdullah.

Ramlah komited untuk terus mengajar al-Quran sehinggalah dia tidak lagi mampu untuk melakukannya.

Ramlah komited untuk terus mengajar al-Quran sehinggalah dia tidak lagi mampu untuk melakukannya.

Ditanya rahsia Ramlah kekal cergas walaupun jadualnya padat, dia menjawab tidak pernah berasa letih ataupun jemu kerana cintakan al-Quran dan mendengar alunan bacaan al-Quran merupakan satu terapi buatnya.

“Ianya satu kepuasan bagi saya apabila ada pelajar yang berjaya khatam al-Quran serta boleh membaca dengan baik dan lancar. Namun begitu, andai ada anak didik yang kurang baik tahap penguasaannya, saya akan memberi tumpuan yang lebih kepadanya supaya dia dapat menguasai ilmu al-Quran.

Menariknya, sistem pengajian yang digunakan Ramlah adalah berasaskan kaedah lama iaitu membaca muqaddam dan mengeja tanpa menggunakan buku Iqra’.

“Membaca muqaddam serta mengeja diakui agak sukar tapi ianya lebih berkesan dan mudah untuk diingati,” tambahnya.

Ramlah turut menyeru orang ramai khususnya generasi muda agar mengamalkan bacaan al-Quran kerana amalan tersebut adalah saham akhirat kelak serta menjadikan kitab suci ini sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.

-SH

Tinggalkan komen anda