Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Pembangunan Sukan Harus Dititikberatkan

By 15 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Shahfuri Saidan & Zairin Zin (Selangor)

SEMENYIH, 15 Februari (Malaysiaaktif) – “Program hari ini yang diadakan lebih bersifat ke arah belia atau mendekati anak muda dan pada masa yang sama, saya berkesempatan untuk mendengar keluh kesah daripada ketua-ketua kampung khususnya berkenaan pembangunan infra sukan yang sedia ada di bawah pihak kampung, negeri dan juga persekutuan”, ujar Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media sempena lawatan rasmi Menteri Belia dan Sukan ke Daerah Hulu Langat bertempat di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang kelmarin.

“Saya ambil prihatin berkenaan dengan masalah-masalah ini dan akan mengusahakan sebaik mungkin untuk menaiktaraf.  Saya berpendapat pembangunan sukan luar bandar harus dititikberatkan dan saya akan usahakan sebaik mungkin”, tegas Syed Saddiq.

Tambah beliau lagi, “sebagai contoh, kalau dilihat padang bola sepak ini, banyak boleh dilakukan dan dinaiktaraf supaya boleh digunakan oleh para penduduk setempat”.

Beliau turut menyatakan di bawah IKBN Dusun Tua, memang akan ada produk – produk setempat yang Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) pasarkan dan pada masa yang sama kita hendak jalinkan hubungan baik antara pusat dengan komuniti setempat untuk merancakkan petumbuhan ekonomi setempat”.

“Tapi saya rasa cara terbaik adalah dengan menjalinkan hubungan dengan semua kementerian supaya kita boleh bergerak seiring ke hadapan termasuk dengan kerajaan negeri” kata Syed Saddiq.

Sebelum itu, Syed Saddiq berpeluang bersenam robik bersama masyarakat setempat dan berkayuh basikal sejauh hampir 30 kilometer. Turut hadir bersama adalah Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Haji Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Selangor, Sabran Abd Bahar.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda