Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Ekspresi Warisan Dengan Sulaman Manik

By 18 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Robin Junang

KUCHING, 18 Feb  (Malaysiaaktif) – Menyulam manik bagaikan lagu dan irama, bagi Victoria Mujan Sudah lebih 20 tahun beliau terlibat secara aktif membuat sulaman termasuk mengadakan bengkel, demonstrasi dan mengikuti pameran di  peringkat negeri, nasional dan antarabangsa. Di mana ada pameran yang melibatkan karya seni kraftangan maka di situ ada kehadiran beliau.

Wanita berketurunan Kayan ini gigih membuat  dan mempromosi sulaman maniknya di peringkat negeri dan nasional. Berumur 48 tahun berasal dari Tubau Bintulu Sarawak, fasih berbahasa Kayan, Kenyah,  Inggeris, Melayu dan Iban. Dia merupakan salah seorang yang sangat mencintai warian seni budaya bangsa.

Antara sulaman warisan dari manik biasa yang dihasilkan

Antara sulaman warisan dari manik biasa yang dihasilkan

Setiapkali Hari Kraftangan Kebangsaan beliau akan diundang untuk membuat demonstrasi dan menjual hasil sulamannya digerai yang telah dikhaskan. Undangan tersebut biasanya dibuat melalui Sarawak Craft Council, NGO yang diwakilinya atau terus kepada beliau sendiri bergantung kepada jenis program.

Kebanyakan sulaman beliau berupa motif warisan bagi aksesori tradisional sama ada dipakai bersama busana tradisional atau kotemporari. Sulaman warisan ini merupakan motif-motif yang mempunyai kaitan dengan budaya suku kaum Sarawak seperti Iban dan Orang Ulu termasuklah hiasan kepala yang dinamakan ‘lavong’

Terdapat dua jenis manik digunakan untuk hiasan dan sulaman iaitu manik berbiji kecil yang berbagai warna. Manik-manik  ini sesuai untuk sulaman warisan dan biasanya dibeli di kedai-kedai yang menjual barangan hiasan.  Manik kaca pula adalah berbagai rupa bentuk, saiz serta warna dan  biasanya dijadikan hiasan seperti rantai, gelang tangan atau kaki. Manik ini adalah buatan penduduk tempatan dan ditempah mengikut citarasa pengguna.

Sulaman manik kecil dan manik kaca merupakan aksesori kepada busana tradisional dan pakaian moden semasa menghadiri majlis-majlis tertentu. Harga sesuatu produk sulaman bergantung kepada jenis, saiz, jenis dan jumlah penggunaan manik. Manik yang bermutu tinggi biasanya digunakan untuk sulaman warisan yang motifnya mempunyai nilai atau maksud tertentu manakala manik biasa pula digunakan untuk membuat hiasan seperti rantai leher, gelang dan sebagainya.

Aksesori dari manik kaca yang berbagai saiz dan bentuk yang sering mendapat permintaan tinggi

Aksesori dari manik kaca yang berbagai saiz dan bentuk yang sering mendapat permintaan tinggi

Semasa ditemui ketika mengikuti Pameran Ruai Sarawak di DUN Lama Kuching, beliau menerangkan bahawa setiapkali ada pameran atau pesta yang melibatkan kraftangan, pihak Sarawak Craft Council dan beberapa badan NGO menjemputnya untuk turut serta. Beliau pernah membuat promosi sulaman ini di Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Saya sudah mengikuti beberapa pameran negeri dan nasional hampir seluruh Malaysia. Malah diundang untuk memberi tunjukajar kepada mereka yang berminat mempelajari sulaman manik,” katanya

Penglibatan beliau membuat sulaman ini juga turut mendapat perhatian daripada kerajaan negeri Sarawak. Beliau pernah menerima sumbangan mesin sulaman daripada Jabatan Pertanian Sarawak manakala Sarawak Craft Council pula membantu membuat mempromosi termasuk menampung kos perjalanan dan penginapan di luar Bintulu.

Beliau mempunyai gerai menjual sulaman manik di Time Square Bintulu. Gerai tersebut juga digunakan sebagai bengkel untuk memberi tunjukajar  kepada mereka yang berminat mempelajari seni sulaman manik warisan dan moden.

Antara sulaman yang dipamerkan di gerai pameran Victoria Mujan

Antara sulaman yang dipamerkan di gerai pameran Victoria Mujan

“Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri kerana memberi kemudahan, inisiatif dan peluang bagi meneruskan seni sulaman ini walaupun tidak ramai dalam kalangan generasi muda mahu menceburinya,” tambahnya lagi.

Beliau merupakan salah seorang daripada kumpulan etnik minoriti yang semakin dikenali ramai kerana kemahirannya menghasilkan sulaman warisan, moden dan kotemporari. Malah para pelancong dari beberapa negara  Asia dan Eropah membeli sulaman daripadanya. Malah pihak kerajaan turut membeli sulaman tersebut untuk dijadikan cenderahati bagi sesuatu majlis.

-ER

Tinggalkan komen anda