Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahang

Jenazah Siti Masitah Dituntut

By 19 Februari 2019Jun 15th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto: Pai Syahira Yahya

KUANTAN, 19 Feb (Malaysiaaktif)  – Jenazah kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Siti Masitah Ibrahim,  11, dituntut oleh ibunya selepas selesai sesi bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan,  Kuantan.

Mayat kanak-kanak malang tersebut dijumpai tertiarap dengan tangan diikat ke belakang serta dalam keadaan hampir reput pada Sabtu lalu.

Jenazah dimandikan dan dikafankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan dan dikebumikan sebaik sahaja disolatkan di Surau Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, semalam.

Hampir 100 orang memenuhi perkarangan tanah perkuburan dengan suasana memilukan dan linangan air mata dihadiri oleh ahli keluarga, penduduk kampung dan saudara mara-mara.

Dalam kejadian menyayat hati itu, kehilangan mangsa dilaporkan pada 30 Januari 2019, dan polis menahan seorang lelaki pada 31 Januari 2019 di simpang masuk ke Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Pahang.

Hasil pengakuan awal suspek, polis merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan bagi memukul mangsa.

Berikutan itu, tangkapan dilakukan dan lelaki tersebut adalah orang terakhir dilihat bersama mangsa berdadarkan maklumat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata, berdasarkan siasatan awal terdapat tiga kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri dan belakang kepala mangsa.

Beliau turut berkata motif pembunuhan dipercayai angkara dendam terhadap keluarga mangsa.

“Suspek merupakan kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung. Hasil soal siasat, pada awalnya suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa.”

“Walau bagaimanapun, hasil soal siasat lanjut, suspek akhirnya mendedahkan penglibatan dirinya berkait kehilangan mangsa.” jelasnya.

Polis bagaimanapun masih menunggu laporan penuh DNA sebelum mengesahkan mayat mangsa adalah Siti Masitah dan proses bedah siasat bermula Isnin lalu, 9 Februari 2019.

Dalam pada itu, pihak polis menafikan berita kononnya organ dalaman mangsa hilang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Suspek disambung reman bermula 18 Februari sehingga 24 Februari depan.

 

-KN

Tinggalkan komen anda