Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

Al-Quran dan Sunah Sebagai Rujukan Kehidupan – Tuanku Syed Sirajuddin

By 21 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Sufian Kamarudin/Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar umat Islam wajib menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan untuk menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan.

“Kemampuan akal manusia sangat terbatas dan atas sebab itu Allah SWT menurunkan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan kepada umat manusia.

“Beta berdoa semoga Allah SWT mengangkat martabat umat Islam yang cintakan ilmu, beramal dengan al-Quran dan sunah serta sentiasa berdampingan dengan ulama,” titah baginda ketika merasmikan Tilawah Al-Quran peringkat negeri di Dewan Warisan, di sini kelmarin.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah al-Marhum Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kekuatan dan kesejahteraan umat Islam berkait rapat dengan penghayatan dan amalan yang disyariatkan agama.

Baginda turut mengesyorkan agar kerajaan negeri perlu meneruskan aktiviti membudayakan ajaran Islam dalam kehidupan masyarakat dan pentadbiran agar Perlis menjadi negeri yang dirahmati selalu.

Fathi (kiri) dan Norhusna berbangga dapat mewakili negeri dalam Tilawah Peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan Mac depan.

Fathi (kiri) dan Norhusna berbangga dapat mewakili negeri dalam Tilawah Peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan Mac depan.

“Beta amat sukacita kerana agensi-agensi yang menjaga kepentingan Islam di negeri ini menunjukkan kesungguhan dan sentiasa mengambil berat dalam isu yang membabitkan umat Islam selain berusaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Islam.

“Penganjuran tilawah al-Quran setiap tahun menjadi pentas untuk menyeru umat Islam agar meningkatkan pembacaan, memahami dan mengamalkan kandungan ayat-ayat suci al-Quran,” titah baginda lagi.

Pada majlis itu, Muhammad Fathi Ahmad muncul johan qari manakala Norhusna Mohamad Salleh dinobatkan juara qariah.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil, hadiah iringan dan sebentuk loket emas.

Dengan kemenangan itu juga membolehkan mereka mewakili Perlis untuk ke Tilawah Peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan Mac depan.

-SH

Tinggalkan komen anda