Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

PRK Semenyih: 23 Laporan Polis

By 27 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

SEMENYIH, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 23 laporan polis telah dibuat dalam tempoh 11 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), sejak 16 Februari lalu.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, laporan tersebut mengenai kempen yang tidak mempunyai permit, pembaikan rumah dan pemberian hamper serta insiden-insiden kecil.

“Mereka yang mempunyai maklumat secara langsung perlu melaporkan kepada pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azhar (kanan) melihat kertas undi yang dimasukkan ke dalam peti semasa meninjau pengundian awal di Batalion 4 PGA Semenyih, hari

Azhar (kanan) melihat kertas undi yang dimasukkan ke dalam peti semasa meninjau pengundian awal di Batalion 4 PGA Semenyih, hari

“SPR bertindak sebagai pihak pengelola pilihan raya serta memberi peringatan kepada calon dan parti-parti yang bertanding untuk mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Azhar, sekiranya terjadi apa-apa insiden maka pihak yang mempunyai fakta secara langsung itu melaporkan kepada pihak polis dan SPRM.

“Kedua, insiden tersebut boleh digunakan sebagai satu alasan untuk mencabar keputusan di dalam petisyen pilihan raya nanti.

“Dalam kedua-dua kesan itu, SPR tidak bersangkut paut kerana tidak mempunyai kuasa untuk memanggil pihak-pihak terlibat memberi keterangan atau melihat dokumen-dokumen,” katanya.

Jelas Azhar lagi, proses kesalahan pilihan raya adalah seperti proses di dalam sistem keadilan jenayah lain yang perlu membuat laporan kepada pihak berkenaan (polis atau SPRM).

“Siasatan akan dilakukan bagi menyediakan kertas siasatan yang akan diberikan kepada pihak Peguam Negara membuat keputusan samada akan didakwa atau tidak, itu sistem kita.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat sila pergi buat laporan. Kita (SPR) mengelola pilihan raya dan kita telah ambil inisiatif baru seperti mengeluarkan senarai yang boleh atau tidak semasa berkempen,” ujarnya.

Tambah Pengerusi SPR, senarai tersebut diberikan kepada semua calon bertanding dan mereka diminta menandatangani aku janji untuk mengikut peraturan tersebut.

“Sekiranya ada perlanggaran (peraturan) atau pihak yang mempunyai maklumat secara langsung perlu buat laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas membuat lawatan proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Shahrom serta ahli-ahli SPR, Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Dr Mohd Faizal Syam Abdol Hazis, Zoe Randhawa dan Dato Chin Phaik Yoong.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda