Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

PAT Tersenarai Tiga Acara Tradisi Popular Negara

By 3 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Sufian Kamarudin/Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Rakyat Perlis merasa bangga kerana acara Pesta Angin Timur (PAT) kini disenaraikan sebagai antara tiga acara tradisi paling popular di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, berkata populariti acara itu kini setanding Pesta Air Chenor di Pahang dan Festival Permainan Rakyat di Kepong, Kuala Lumpur.

“Pesta Angin Timur Perlis merupakan salah satu program utama bagi negeri ini selain daripada Perlis Marathon dan Pesta Air Kuala Perlis.

“Pesta angin timur telah menjadi program atau ikon yang dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat dan saban tahun jumlah pengunjung semakin meningkat,” katanya ketika merasmikan PAT 2019 di perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, di sini semalam.

Azlan berkata, pesta berlatarkan suasana kampung yang menjurus kepada kepelbagaian aktiviti masyarakat pesawah ini dilihat menjadi petunjuk prestasi utama dalam membantu masyarakat setempat dan kerajaan negeri menjana ekonomi.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena PAT kali ini.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena PAT kali ini.

“Pada penganjuran PAT tahun lalu, kita memperoleh pendapatan sebanyak lebih RM410,000 menerusi peniaga gerai dan pengusaha produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) daripada perbelanjaan pengunjung ke pesta ini,” katanya.

Tambahnya lagi, jika dilihat statistik kehadiran pengunjung pada tahun lalu, sebanyak 108,479 pengunjung, tidak mustahil pada tahun ini PAT mampu mencapai sasaran hingga 115,000.

“Oleh itu, penduduk di negeri ini diminta menggunakan peluang sebegini (berniaga) kerana pelancong dari luar akan datang untuk menyaksikan acara yang diadakan buat kali ketujuh,” ujarnya lagi.

Pesta Angin Timur 2019 dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Azlan berkata, pelancongan budaya bukan semata-mata berkait dengan kesenian atau hiburan malah berupaya meningkatkan kesejahteraan budaya bangsa yang mampu memelihara warisan supaya terus subur.

“Selain itu ia menyumbang kepada kerancakan sektor ekonomi negeri di mana bilangan pelancong domestik semakin bertambah selain memberi peluang perniagaan kepada penduduk melalui jualan produk tempatan.

“Lebih 30 acara menarik dianjurkan sepanjang tiga hari penganjuran PAT 2019 yang bermula dari Jumaat hingga Ahad (1-3 Mac), antaranya fiesta gamelan perlis, motor bendang terbuka perlis, woodball bendang, kerbau besi, kubota berhias, menangkap itik dan menggagau belut,” jelas Azlan.

Semua aktiviti berkenaan menterjemahkan suasana di kampung semasa musim angin timur apabila berlakunya perubahan angin monsun ke arah timur menjadikan cuaca berangin dan panas terik di waktu siang dan sejuk di waktu malam.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamadin Ketapi, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli dan Pengarah JKKN negeri Rahmat Md. Noh.

-SH

Tinggalkan komen anda