Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Saji Senireka Tradisi Kian Dilupakan

By 10 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Wan Noriza bt. Wan Jaafar (Pasir Mas)

PASIR MAS, 10 Mac (Malaysiaaktif)- Tudung saji atau ‘saji’ digunakan secara meluas di Kelantan di mana ia digunakan untuk menutup hidangan dari kotoran, dihinggapi lalat atau terkena habuk. Namun tidak ramai yang tahu membuat tudung saji merupakan satu kerja yang rumit dan perlukan kesabaran yang tinggi.

Tudung saji ini diperbuat dari daun Pokok Tar dan terpaksa melalui banyak peringkat pemprosesan. Hanya mereka yang tekun dan sabar mampu melakukannya.

Bagi Hasnah Abdullah, ibu tunggal, 63, di Kampung Hutan Pasir, Tendong, beliau sudah 10 tahun membuat tudung saji dari daun Pokok Tar. Inilah kerja yang mampu dibuat bagi menyara kehidupan keluarga. Bermodalkan RM 1000, dari pinjaman Amanah Ikhtiar, beliau memulakan kerja membuat tudung saji ini.

Saji  hasil seni anyaman tangan yang unik

Saji hasil seni anyaman tangan yang unik

Bercerita cara membuat tudung saji, “Asalnya dari daun pohon Tar, diambil dan direndam dalam air beberapa hari agar lembut dan mudah di uruskan. Daun ini kemudiannya perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum dicelup dalam rebusan air pewarna supaya pewarna diserap dengan baik. Setelah direbus pewarna, ia perlu dijemur sekali lagi di bawah cahaya matahari. Setelah betul-betul kering, barulah boleh mula mengayam membuat tudung saji.” ujarnya.

Menurut Hasnah lagi, Tudung saji yang telah siap akan dijual kepada pemborong di Kota Bharu dengan harga RM 20 sebiji. Pada masa ini semakin kurang orang yang mahir membuat tudung saji. Keunikan cara tradisi membuat tudung saji ini patutnya diambil alih oleh orang muda bagi meneruskan legasi kesenian tradisi ini. Ia boleh dijadikan sumber ekonomi penduduk di luar bandar melalui industri desa untuk menjana pendapatan dan merangsang ekonomi.

Pada masa ini terdapat tudung saji yang diperbuat daripada plastik. Pembuatan secara komesial oleh industri plastik menjadi saingan utama kepada permintaan tudung saji tradisional ini.

Pelbagai bentuk, hiasan warna dan saiz menjadi pilihan masyarakat. Keadaan ini menjadikan tudung saji tradisional sebagai pilihan kedua dan kian pupus. Tudung saji tradisi ini masih bertahan dengan adanya peminat keunikan senikreka cara tradisi. Di beli untuk hiasan di dinding rumah selain penduduk desa yang masih lagi berminat menggunakannya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda