Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Ritual ‘Ngarantika’ Masyarakat Salako Masih Diamalkan

By 15 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)

SEMATAN, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Bagi masyarakat etnik Bidayuh Salako di Kampung Pueh, tanaman padi masih menjadi pekerjaan tradisional utama. Di sepanjang laluan dari Sematan ke Telok Melano kelihatan terbentang sawah padi menghijau. 

Bagi  memastikan kualiti dan kuantiti padi, masyarakat Salako di sini masih lagi mengekalkan adat lama mereka yang telah diamalkan sejak tahun 1875 lagi. Pelbagai upacara sembahyang kepada Jubata (Tuhan menurut kepercayaan lama) masih diadakan bermula dari peringkat penanaman padi sehingga ke proses menuai.

Tujuannya adalah untuk mengucap kesyukuran kepada Jubata di atas hasil padi yang diperolehi, kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada roh-roh yang jahat. Sebelum musim menuai, upacara sembahyang yang dikenali sebagai Ngarantika akan diadakan pada bulan Februari hingga pertengahan Mac. 

Rame’ yang digantung di tiang rumah

Rame’ yang digantung di tiang rumah

Upacara ini adalah sebahagian daripada cara lama untuk menghormati semangat padi Sitang Ak Likor, Pengarah Huma Kampung Pueh merupakan individu yang arif tentang adat dan pantang larang penanaman padi.  Beliau akan mengetuai upacara sebagai ritual tahunan semasa musim penanaman dan penuaian padi.

Mengikut upacara Ngarantika adalah bermula dengan melakukan penuaian padi dalam kuantiti yang sedikit  sahaja pada awal pagi hari pertama. Padi tersebut kemudiannya dijemur terlebih dahulu sebelum ditumbuk menggunakan lesung kayu sehingga menjadi beras. Diikuti dengan pembacaan doa oleh Nyangahant, (ketua sembahyang) ke atas  beras baharu yang telah ditumbuk kemudiannya dicampur dengan beras lama dan dibungkus menggunakan daun minyak untuk direbus dalam buluh bontokng. Jumlah ruas bontokng mestilah dalam bilangan ganjil sama ada  tiga, lima ataupun tujuh. 

Teleng ditemani isteri, anak, cucu dan cicit ketika melakukan upacara sembahyang

Teleng ditemani isteri, anak, cucu dan cicit ketika melakukan upacara sembahyang

Tukang Nyangahant akan mengetuai beberapa orang Penyangahant untuk melakukan satu lagi acara doa di pante’  (serambi rumah panjang) di mana mereka akan membawa buis (persembahan) berupa bontokng, tepak sirih, lampu minyak tanah dan asapan kemenyan yang diletakkan di atas apar (talam).  

Po’e (lemang), sampa’ (sirih), rokok daun, kayu api dan bontokng diikat menggunakan tali yang diperbuat daripada kulit kayu digantung di rame’ (tempat persembahan di tiang depan pintu serambi).

Semasa upacara Ngarantika diadakan, terdapat pantang lantang yang harus dipatuhi iaitu di dalam tempoh tiga hari upacara ini diadakan, mereka hanya boleh menuai padi sehingga waktu tengahari sahaja. Selepas diadakan upacara Nuruntni’ pada hari keempat di Rumah Adat Kaum Salako, barulah mereka dibenarkan untuk menuai padi sepanjang hari. 

Iyar dibantu oleh anak sulungnya, Tait Anak Teleng di sawah padi yang di ushakan mereka

Iyar dibantu oleh anak sulungnya, Tait Anak Teleng di sawah padi yang di ushakan mereka

Upacara Nuruntni’ ini akan dilakukan oleh seorang Binua iaitu Mina Anak Kalum (Binua merupakan hierarki tertinggi dalam kepimpinan etnik Salako) dan dibantu oleh Sitang ak Likor.  Pengarah Huma. Tiga ekor ayam digunakan sama ada dua ekor ayam jantan dan seekor ayam betina atau sebaliknya. Dalam upacara ini, Pengarah Huma akan melakukan upacara Muang bangas (membuang penyakit padi) dan diakhiri dengan upacara Nyangahant bagi memberkati sawah padi setiap penduduk yang terlibat. 

Menurut Teleng Anak Nyunte,79 tahun, Tukang Nyangahant, “sebaiknya bagi semua upacara adat-adat lama ini haruslah dikekalkan dan terus dipraktikkan”.  Manakala  Emary Anak Dewa @ Bob Tukak berkata,  “perubahan zaman dari tahun 70an sehingga sekarang amatlah ketara dari segi amalan adat-adat lama”.

“Walaupun kebanyakkan generasi muda Salako sekarang banyak yang telah menganuti agama Kristian namun mereka tetap membantu dalam menyediakan persiapan untuk upacara Ngarantika ini,” tTambah Emary.

Namun kini, tidak semua penduduk kampung terlibat dengan ritual tersebut. Daripada 40 keluarga, hanya 31 sahaja lagi yang masih mengamalkan adat dan upacara Ngarantika ini.

Walaupun adat ini masih diamalkan oleh masyarakat  Salako tetapi sedikit sebanyak telah mengalami perubahan kerana kehadiran agama, teknologi dan asimilasi budaya baharu. 

ER

 

Tinggalkan komen anda