Agama Mampu Memupuk Persaudaraan dan Perpaduan

cc818074-5514-4373-9af6-39b7cb68d4c0
 Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Pegangan agama mempunyai peranan yang penting dalam membina masyarakat yang bersatu-padu dan bertamadun.

Merujuk kepada prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, jelas menunjukkan bahawa agama merupakan tunjang utama dalam membina jati diri manusia seterusnya memantapkan perpaduan bagi mengukuhkan bangsa dan negara.

Prinsip ini menjadi nadi pembinaan jati diri bagi masyarakat Malaysia yang mana  wajar dijadikan panduan dan pedoman oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Konteks perhubungan masyarakat, perpaduan, menghadapi pelbagai kes jenayah dan kekejaman, malah juga isu alam sekitar dan pelbagai isu lain termasuk integriti dan akauntabiliti perlu ditekankan kepada masyarakat negara ini khususnya para remaja yang merupakan pemimpin masa hadapan.

Pendakwah bebas Ebit Lew berkata, Mereka yang percaya kepada Tuhan, akan menjadikan Tuhan sebagai pemantau diri yang mengawasi setiap tindakan yang dilakukan kerana percaya kepada nilai dan kesan daripada apa yang dilakukannya.

Ebit Lew mengajak anak-anak muda menyerapkan agama dalam kehidupan seharian

Ebit Lew mengajak anak-anak muda menyerapkan agama dalam kehidupan seharian

“Sebenarnya semua agama mengajar kebaikan dan menolak sama sekali kebencian kepada orang lain. Tidak ada agama yang mengajar kejahatan,” ujarnya lagi.

Tidak dinafikan bahawa fungsi agama dapat menyatukan perbezaan bangsa dan turut meningkatkan semangat nasionalisma terhadap tanah air. Sikap hormat menghormati yang disarankan oleh semua agama mampu meningkatkan lagi persefahaman sesama manusia.

Dengan mempraktikkan ajaran agama yang betul akan membolehkan masyarakat hidup dengan aman dan sejahtera. Apatah lagi dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini dengan kepelbagaian adat dan budaya.

Sikap bertolak ansur, berkasih sayang dan hormat menghormati menjamin tindakan kita yang penuh beradab, dikasihi, dihormati dan dicontohi.

Keganasan, pertumpahan darah, kebencian dan mencabul hak orang lain bukanlah dari ajaran mana-mana agama. Penerapan nilai peribadi mulia perlu dibuat untuk meningkatkan lagi kefahaman pelbagai anutan agama dan budaya.

Dewasa ini semakin ramai yang buta nilai murni dan secara tidak langsung suka melakukan provokasi termasuk melalui saluran politik. Malah mereka yang  berakhlak rendah ini gemar mempengaruhi orang lain dengan menanamkan persepsi buruk mengenai nilai peribadi hingga membawa kebencian sesama sendiri.

Ahmad sentiasa positif dalam menjalani kehidupan

Ahmad sentiasa positif dalam menjalani kehidupan

Ebit menyarankan agar semua lapisan masyarakat dapat menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing dalam membentuk perpaduan yang jitu untuk keharmonian negara ini.

Pada hari ini, program motivasi diri yang bertajuk Kembara Intelek dan Sahsiah telah  dihadiri lebih 500 orang pelajar yang berusia antara sembilan hingga 16 tahun di Penderosa Golf Resort.

Peserta kursus, Ahmad Hazeem Amir James, 16, mengakui bahawa banyak implikasi positif tentang semangat perpaduan dan peribadi mulia yang diserapkan semasa kursus ini.

“Saya percaya bahawa masa remaja merupakan proses pencarian jati diri. Saya juga mengakui bahawa agama merupakan benteng kepada semangat perpaduan yang wujud di negara ini,” katanya.

Seorang surirumah, Noraini Ismail, 38, yang merupakan ibu kepada seorang peserta,  Nur Alya Adriana Mohd Adha, 12, turut mengakui bahawa dalam membentuk sahsiah mulia perlu diserapkan pendidikan agama.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa bertanggungjawab dalam menyemai nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita,” katanya.

Noraini percaya bahawa ajaran agama dari peringkat awal mampu membentuk peribadi mulia

Noraini percaya bahawa ajaran agama dari peringkat awal mampu membentuk peribadi mulia

“Sebenarnya peribadi mulia perlu dibentuk seawal usia anak dan pegangan agama perlu menyeluruh dalam diri setiap individu,” tambah beliau lagi.

Program sehari ini turut dijayakan oleh Penceramah Motivasi, Rahman Lew.

Turut hadir menyerikan kursus ini adalah para ibu bapa peserta yang sentiasa menjadi nadi kepada kejayaan anak-anak mereka.

EM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...