Skip to main content
HomeSabah

Program 5K Komuniti Kadamaian Pada 23 Mac Ini

By 19 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/Foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Komuniti Kadamaian yang julung kalinya diadakan melibatkan 74 buah kampung, akan dilancarkan pada 23 Mac ini, di Padang Dudan, Kg.Piasau Kota Belud.

Majlis itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Ewon

Ewon

Ewon berkata, 5K Komuniti Kadamaian, dengan mengambil kira rangka kerja Gerakan Desa Wawasan (GDW) sebagai panduan asas, program ini merupakan satu pelan transformasi Kadamaian secara menyeluruh bertujuan membentuk satu komuniti yang mampan dalam pelbagai aspek khususnya dalam 5K.

“Program di bawah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian bertujuan untuk memperkasa dan menggerakkan 74 buah kampung luar bandar di kawasan Kadamaian dengan projek-projek kecil sosio-ekonomi seterusnya meningkatkan keupayaan dan daya saing penduduk.

“Kita berharap melalui program ini yang menekankan penglibatan penduduk desa dalam proses perancangan program pembangunan akan dapat meningkatkan kesedaran ke arah kesejahteraan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Ewon berkata, bagi mencapai objektif 5K Komuniti Kadamaian, terdapat 12 kriteria yang perlu dibangunkan oleh komuniti sendiri.

Boniface

Boniface

“Antaranya dari segi aspek kebersihan dan keceriaan, keagamaan, pendidikan dan kemahiran, ekonomi berasaskan pertanian dan produk ekonomi desa berasaskan komuniti, kepimpinan, keselamatan, infrastruktur, kesihatan dan pembangunan Teknologi Maklumat (IT),” katanya.

“Tempoh penilaian program adalah setahun dan penilaian akan dibuat dalam dua peringkat iaitu enam bulan selepas dilancarkan dan enam bulan seterusnya untuk menentukan pemenang,” tambahnya.

Bagi memastikan keberkesanan program, pendekatan atau kaedah yang sesuai akan diteliti untuk digunakan pada tahun seterusnya.

“Program 5K Kadamaian memperuntukkan sebanyak RM100,000 dalam bentuk projek-projek kecil melibatkan 74 buah kampung kawasan DUN Kadamaian.

“Adalah diharapkan agar Program 5K Komuniti Kadamaian ini mampu membuat anjakan paradigma khususnya dalam mencapai kesejahteraan dan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti Kadamaian secara menyeluruh,” katanya.

Sasaran program ini adalah untuk mencapai tujuh teras inisiatif pembangunan luar bandar iaitu pembangunan manusia yang cemerlang, pengukuhan institusi keluarga, pembangunan masyarakat, penyediaan infrastruktur yang berkualiti, pembangunan modal insan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

“Dengan aspirasi pembangunan luar bandar yang jitu dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023: Luar Bandar Sejahtera pastinya akan mampu melonjakkan lagi komuniti Kadamaian pada satu tahap yang baru,” ujarnya.

Sementara itu Setiausaha Pelaksana Program Pelancaran Boniface Jiran berkata, pelbagai acara menarik diadakan sempena program itu antaranya larian Go Green Fun Ride (20KM dan 8KM), Kadamaian Cross Country Challenge (KCCC) MTB XC (55KM) dan KCCC Trail Run (20KM).

Fedelis

Fedelis

Program larian dan berbasikal ini dianjurkan oleh Kelab Berbasikal Lagend on Bike (LOB) Kota Belud.

Menurut Boniface, Ewon turut menyumbang hadiah cabutan tiket bertuah bernilai RM20,000 untuk peserta larian dan berbasikal.

Presiden LOB, Fedelis Boyogo, berkata anjuran ini adalah bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dan seterusnya memperkasakan pelancongan sukan di Kadamaian.

“Selain itu, kami meletakkan tarikh yang sama dengan pelancaran program 5K sebagai tanda sokongan padu kepada program kearah kesejahteraan komuniti Kadamaian.

“Penyertaan Go Green Fun Ride adalah percuma dan komitmen para peserta adalah dengan membawa barangan kitar semula seperti kertas surat khabar dan botol plastik terkumpul seberat tiga kilogram,” tambahnya lagi.

Penyertaan orang ramai amat dialu-alukan terutamanya masyarakat di kawasan Kadamaian dan adalah dijangkakan lebih 3,000 orang akan menghadiri acara ini.

EM

Tinggalkan komen anda