Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

CSR Dapat Lahirkan Pelajar dan Alumni Berkualiti

By 20 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Siti Fairuz Ngatenan/Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 62 orang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan alumni Kolej Komuniti Zon Sarawak menyertai Program Khidmat Sosial Kemasyarakatan (CSR) Peringkat Kolej Komuniti Zon Sarawak di Sekolah Kebangsaan Batu Lintang, di sini semalam.

Pensyarah Kolej Komuniti Kuching Mohd Suhairi Md Suhaimin, berkata program ini berjaya menggabungkan kolej-kolej komuniti di Sarawak yang mempunyai kemahiran berbeza yang dapat digunakan untuk memberi khidmat bakti kepada komuniti setempat.

“Program ini merupakan yang pertama dilaksanakan pada tahun ini dan diharap dapat diteruskan ke sekolah-sekolah lain yang mempunyai keperluan mendesak.

Peserta membaiki perabot dan lain-lain peralatan sekolah.

Peserta membaiki perabot dan lain-lain peralatan sekolah.

“Diharapkan aktiviti CSR ini dapat melahirkan pelajar dan alumni yang berkualiti, mempunyai jati diri pada masa hadapan serta dapat mengembangkan kemahiran untuk digunakan apabila berada dalam komuniti kelak,” katanya.

Aktiviti khidmat sosial ini merupakan salah satu pengisian di bawah Program Semarak Budaya Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Sa’diah Bakar berterima kasih kepada Kolej Komuniti Zon Sarawak atas khidmat bakti yang diberikan.

“Kami amat gembira menerima bantuan oleh pihak kolej yang merupakan institusi pertama melaksanakan aktiviti CSR di sini.

“Diharap aktiviti CSR seperti ini dapat diteruskan lagi dalam membantu sekolah-sekolah yang memerlukan,” ujarnya.

Program ini melibatkan kerja-kerja seperti membaiki perabot, pendawaian elektrik, khidmat landskap dan kerja mural di bangunan dan sekitar perkarangan sekolah tersebut.

Salah seorang peserta yang juga merupakan alumni Kolej Komuniti Miri, Micheal ak Sabing melahirkan perasaan gembira kerana terpilih untuk menyertai program ini.

“Saya amat meminati kerja-kerja amal dan selalu terlibat dengan aktiviti khidmat bakti seperti ini yang mana memberi peluang untuk mengenali ramai orang serta pelajar junior,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda