Skip to main content
HomeTerengganu

Pelajar SMKTAI Mengundi Hari Ini

By 21 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Aneta Ahmad/Shuhaimi Ahmad

HULU TERENGGANU , 21 Mac (Malaysia Aktif) – Seramai 300 orang pelajar dari Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan (SMKTAI), Kuala Berang mengundi pada hari ini.

Program ini yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Terengganu dengan kerjasama Suruhan Pilihan Raya (SPR) Negeri Terengganu mengadakan simulasi pengundian di kalangan ahli Kelab Malaysiaku di sekolah tersebut.

Program yang dinamakan `Aktiviti Amalan Demokrasi Berparlimen Bersama SPR’ bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah, kaedah serta proses pilihan raya di negara ini.

Pelajar sedang beratur menunggu giliran untuk membuang undi

Pelajar sedang beratur menunggu giliran untuk membuang undi

Pelajar sekolah diberi pendedahan tentang proses demokrasi dan bagaimana pemilihan wakil rakyat dilakukan serta pelajar berpeluang mengikuti sepenuhnya proses pengundian bermula daripada penamaan calon, kempen, mengundi sehingga ke pengumuman calon yang menang.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Samsudin Daud ketika merasmikan program itu berkata, simulasi proses pengundian untuk pelajar sekolah adalah yang pertama kali diadakan di negeri ini dan pihaknya serta SPR bercadang untuk mengadakan program yang sama di sekolah daerah lain di Terengganu.

Program ini mampu menerapkan nilai murni seperti kecintaan kepada negara serta pentingnya seorang warganegara yang berkelayakkan untuk mengundi selain mampu mendidik generasi muda menjadi pelapis pemimpin masa depan agar tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

Kertas undi dibawa masuk ke dalam dewan

Kertas undi dibawa masuk ke dalam dewan

Turut hadir ialah Penolong Pengarah SPR, Ameerul Hakeem Mohd Hairon, Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendidikan Terengganu, Wan Nasiah Wan Majid dan Penolong Kanan Pentadbiran SMKTAI, Norrizam Yusoff juga guru penyelaras Kelab Malaysiaku dari daerah Hulu Terengganu sebagai pemerhati dalam program tersebut.

Menurut guru yang turut hadir pada program ini, Roszita Mat Zin, 40 melahirkan rasa gembira kerana program yang julung kali diadakan dapat mendedahkan potensi diri pelajar sebagai pemimpin juga keupayaan pelajar yang dipilih sebagai wakil pelajar yang bertanding melontarkan menifesto parti yang diwakili secara spontan dan bernas.

Kemenjadian pelajar dapat diserlahkan kerana kebiasaan pelajar hanya terikat dengan teori di dalam sukatan mata pelajaran yang berkaitan seperti mata pelajaran Sejarah namun pada hari ini mereka dapat merasai sendiri proses membuang undi serta mengetahui kepentingan sebagai pengundi dalam pemilihan.

Guru, Roszita Mat Zin

Guru, Roszita Mat Zin

Muhammad Amirul Ashraf Mohd Ashri, 17, berkata program ini adalah sangat bagus kerana taklimat yang disampaikan oleh SPR sangat jelas serta simulasi yang diadakan dapat memberi pemahaman kepada pelajar kerana mereka boleh melihat secara langsung proses membuang undi, mengira undi serta pengumuman keputusan yang diperolehi oleh pihak yang bertanding.

“Program ini sangat bagus kerana pada kebiasaannya ibu dan bapa sahaja pergi mengundi namun hari ini saya dapat merasai saat tersebut dan saya sangat bangga kerana dapat menyertai simulasi yang merupakan program pertama bagi negeri Terengganu kata Nur Amirah Nasyati Abdul Nasir, 17.

Aktiviti ini merupakan salah satu daripada modul di dalam Kelab Malaysiaku, sebuah Kelab yang ditubuhkan di peringkat sekolah menengah yang terpilih melalui kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Manakala salah seorang pelajar yang bertanding dalam simulasi kali ini mewakili parti Kesatuan Anak Muda (KAM), Megat Faris Putra Megat Mehamat Kaharrudin, 17 berkata simulasi ini sangat baik dan beliau bersama rakan – rakan teruja apabila terpilih bagi menjadi salah seorang yang akan bertanding.

Megat Faris Putra Megat Mehamat Kaharrudin

Megat Faris Putra Megat Mehamat Kaharrudin

“Bukan senang untuk menjadi pemimpin kerana membawa amanah dari pengundi dan pendedahan ini bermula dari memilih lambang parti sehingga berkempen dan saya berharap pengalaman ini menjadi salah satu dorongan untuk menjadi lebih berkeyakinan dan berani,” ujarnya.

Untuk rekod, terdapat 61 Kelab Malaysiaku di Negeri Terengganu dan selain Amalan Demokrasi Berparlimen, modul lain adalah Kembara Kelab Malaysiaku serta Wacana Kemerdekaan yang mendedahkan ahli Kelab Malaysiaku berkaitan semangat cintakan negara serta semangat untuk mengekalkan Perpaduan negara.

EM

Tinggalkan komen anda