Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Azmin Nasihat Penduduk Pindah

By 29 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihatkan penduduk yang tinggal di atas rizab tanah di Gombak Utara agar berpindah untuk memberikan laluan projek pelebaran jalan dan mendalamkan sungai.

Azmin berkata, beliau meminta Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim dan Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mencari kaedah penyelesaian terbaik bersama kerajaan negeri serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurutnya beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak, ia termasuk penempatan baharu rumah mampu milik dan kos rendah yang mampu dibiayai penduduk yang majoritinya berpendapatan rendah.

“Syukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam tragedi (ribut) ini tapi saya nasihatkan kepada penduduk yang membina rumah di tebing sungai berpindah kerana ianya berstatus rizab sungai dan jalan.

“Ianya termasuk dalam perancangan kerajaan untuk naik taraf infrastrukur melebar jalan serta mendalamkan sungai.

“Sekiranya ini tidak dilakukan secara baik, dibimbangi kejadian lebih buruk mungkin akan berlaku seperti tanah runtuh dan banjir kilat yang akan memberikan kesan kepada kampung sekitar Gombak Utara,” katanya.

Tambahnya, beliau akan menghubungi PKNS untuk penempatan kepada mangsa terjejas akibat ribut sebelum pemindahan keluarga-keluarga lain yang tinggal di tebing sungai secara berperingkat.

“Perancangan membina rumah mampu milik di kawasan berdekatan terdapat di Kampung Nakhoda namun kalau nak bina sekarang akan mengambil masa, sedangkan kita mahu penyelesaian segera kepada mangsa.

“Saya cuba dapatkan unit-unit berdekatan di kawasan sini, jika ada keperluan baiki dan penyelenggaraan kita akan lakukan untuk meletakkan 21 keluarga terlebih dahulu, selebihnya akan dibincangkan kemudian,” katanya.

Tambahnya, beliau bersimpati dengan penduduk namun dalam masa sama kecewa terhadap pihak yang mengambil kesempatan membina rumah atas tebing sungai untuk disewakan kepada penduduk.

“Penduduk tidak berkemampuan tapi perlu bayar sewa mencecah RM400 untuk tinggal di rumah berisiko sedangkan jika tinggal di rumah mampu milik bayarannya hanya RM124 sebulan yang terjamin keselamatannya.

“Saya telah arahkan Pejabat Tanah untuk mengenal pasti pihak yang bina rumah atas rizab dan menyewakannya kepada pihak ketiga untuk diambil tindakan.

“Perbuatan itu tidak bertanggungjawab kerana mengaut keuntungan dan mengancam nyawa orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak petang tadi yang menempatkan 89 mangsa akibat ribut melibatkan 21 keluarga.

-NAZ

Tinggalkan komen anda