Skip to main content
HomeLabuan

Teruskan Sokongan Terhadap Program PL – Amir

By 30 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Sokongan pelbagai pihak amat diharapkan dalam menyertai apa jua program khususnya anjuran Perbadanan Labuan (PL)  yang melibatkan sambutan di peringkat Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Menurut Pengerusi PL, Dato Sri Amir Hussien, dengan adanya sokongan tersebut dapat menjadi platform kepada pemimpin untuk turun padang mendekati rakyat.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa PL akan menganjurkan Labuan International Sea Challenge pada 26 hingga 28 April dengan pelbagai acara akan diadakan meliputi acara utama serta acara sokongan.

“Justeru itu saya berharap warga Labuan akan sama-sama menyokong dan memeriahkan acara ini sama ada sebagai pengunjung atau menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan.

“Bagi tujuan promosi, bolehlah acara ini diwar-warkan kepada sanak-saudara dan rakan-taulan yang tinggal di luar Labuan untuk datang pada tarikh tersebut,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Peringkat WP Labuan 2019, semalam.

Amir (tengah) bersama beberapa pemenang Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan

Amir (tengah) bersama beberapa pemenang Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan

Menyentuh kepada majlis itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peserta dan pemenang Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan.

“Saya dimaklumkan bahawa pertandingan ini dibahagi kepada enam kategori dan menerima 38 penyertaan, bagi saya jumlah ini sangat menggalakkan kerana adalah tidak mudah untuk menyertai pertandingan seperti ini kerana memerlukan komitmen masa, tenaga dan kewangan.

“Oleh itu saya amat menghargai sokongan semua peserta pertandingan kibar bendera tahun ini.

“Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada PL khususnya Jabatan Pelancongan PL selaku urusetia pertandingan yang telah menguruskan pertandingan ini dengan jayanya,” katanya lagi.

Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu menyaksikan Kampung Sungai Miri menjadi johan bagi Kategori Kampung, Jabatan Kesihatan Labuan menjadi johan bagi Kategori Bangunan Kerajaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia pula mengungguli Kategori Jabatan Kerajaan (Bangunan Disewa) manakala Malaysia Airport Sdn Bhd menjadi johan bagi Kategori Agensi Swasta/Hotel/Premis Perniagaan.

Bagi Kategori Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan menjadi johan, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun mendapat tempat pertama untuk Kategori Sekolah Rendah manakala Tabika Kemas Patau-Patau 2 menjadi johan Kategori Tabika Kemas/Perpaduan/Swasta.

EM

Tinggalkan komen anda