Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Talat Nam Pulau Suri Menggamit Pasar Terapung Damnoen Bangkok

By 5 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto : Mohd Hussin Abdullah (Tumpat)

TUMPAT, 5 Apr (Malaysiaaktif) – ‘Talat Nam’ atau pasar terapung merupakan aset industri pelancongan di Thailand. Damnoen Saduak di Menam Chao Praya Bangkok adalah antara pasar terapung yang paling popular di Thailand.

Konsep ini telah mencetuskan idea Suri Mas Serejo untuk mewujudkan pasar terapung di Pulau Suri Tumpat bagi menjana ekonomi penduduk setempat di dalam industri pelancongan.

Ciri-ciri geografik Pulau Suri dengan persekitaran ekologi yang menarik serta kesungguhan yang tinggi, sehingga Pasar Terapung Pulau Suri telah menjadi satu realiti bermula pada tahun 2016.

Ia merupakan yang pertama di Malaysia dan beroperasi setiap Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari. Lebih sepuluh bot penambang bersedia untuk menjual pelbagai makanan dan minuman bagi menarik tumpuan pembeli setempat atau pengunjung luar.

Konsep jualannya sama seperti pasar terapung di Thailand yang menggunakan perahu sebagai tempat untuk meletakkan barangan jualan mereka.

Peniaga sedang menjual barangan kepada pengunjung

Peniaga sedang menjual barangan kepada pengunjung

Pasar terapung ini menghimpunkan pelbagai barangan jualan termasuk madu, jeli kelapa, nasi berlauk, aneka kuih tradisional dan minuman serta kerabu nipah yang mencuri deria rasa pengunjung.

Che Othman Che Ibrahim, 68, seorang pengunjung daripada Kampung Kok Majid, berkata Pasar terapung ini harus diteruskan kerana ia jadi tarikan pelancong untuk ke Pulau Suri dan di samping membantu peniaga di sini menambahkan pendapatan.

“Kampung Pulau Suri adalah lokasi strategik dan ada potensi untuk dimajukan, pembabitan penduduk setempat telah membuka peluang perniagaan untuk mereka di sini,” katanya.

Peniaga, Munah Mamat, 55, berkata kewujudan pasar terapung ini telah memberi peluang kepada peniaga di sekitar Pulau Suri menjual pelbagai makanan yang diusahakan.”

“Nelayan juga dapat menjual sendiri hasil tangkapan mereka dengan harga yang berpatutan tanpa orang tengah atau pemborong.” Tambahnya.

“Pada hari Sabtu jualan kami bertambah kerana ramai pengunjung yang datang berbelanja menikmati pelbagai makanan dan berpeluang bersiar-siar menaiki bot sekitar Pulau Suri.” Ujarnya lagi.

Pengunjung boleh menaiki bot penambang di Jeti Kampung Kok Majid untuk ke Pasar Terapung dengan harga yang berpatutan RM3 sehingga RM10 bergantung kepada jenis bot yang anda ingin naiki.

-NAZ

Tinggalkan komen anda