Skip to main content
HomeTerengganu

Derma Darah Mampu Selamatkan Nyawa

By 8 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Afnan Hakimi Abd Aziz

MARANG, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Sumbangan yang dihulur mungkin nampak kecil, namun memberi impak besar sehingga mampu menyelamatkan nyawa banyak insan lain.

Kesedaran itu membuatkan sebilangan anggota masyarakat terpanggil untuk menderma darah melalui kempen anjuran pihak tertentu mahupun datang sendiri secara sukarela ke hospital atau ke Pusat Darah Negara.

Bagi memenuhi kehendak ini, Pejabat Pelajaran Daerah Marang dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nurzahirah menganjurkan kempen derma darah bersempena Sambutan Hari Guru 2019 di Bilik Gelama, Pejabat Pendidikan Daerah Marang bermula 8.30 pagi hingga 2.00 petang .

Jururawat bertugas sibuk mengendalikan sesi derma darah

Jururawat bertugas sibuk mengendalikan sesi derma darah

Kempen berjaya menyasarkan lebih 80 penderma darah bukan sahaja di kalangan guru malahan semua lapisan masyarakat khususnya di Daerah Marang.

Dengan adanya kempen tersebut, Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohd Nawawi Rani, 57  berharap kakitangan awam dan penduduk sekitar akan menjadikan derma darah sebagai satu rutin tahunan  sepanjang hayat.

“Kempen yang julung kali diadakan ini akan dijadikan sebagai asas salah satu kempen gaya hidup sihat tahunan.

Mohd Nawawi Rani bergambar bersama penderma darah

Mohd Nawawi Rani bergambar bersama penderma darah

“Derma darah ini juga sebahagian inisiatif kami membantu hospital menambah stok darah untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan kerana dengan adanya kempen seperti ini, semua pihak akan sedar bahawa pentingnya derma darah.

“Selain itu, kempen ini juga adalah platform terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan darah dan seterusnya menjadi tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia yang prihatin,” ujarnya.

Guru SMK Rusila, Sarizan Umar, 55, berkata bahawa menderma darah bukan hanya untuk membantu mereka yang memerlukan, akan tetapi yang lebih penting, aktiviti ini banyak membantu menjaga kesihatan diri sendiri.

Yusnira Mohd Yusof, 37 dari Unit Tabung Darah HSNZ

Yusnira Mohd Yusof, 37 dari Unit Tabung Darah HSNZ

“Ini merupakan kali ke 15 saya menderma darah dan setiap kali saya menderma, saya rasakan tubuh saya semakin baik di sebalik umur saya yang dah melepasi 50 tahun,” ujar Sarizan.

Menurut Jurucakap Unit Tabung Darah HSNZ, Yusnira Mohd Yusof, 37, lebih ramai penderma darah akan dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan.

“Kempen yang dianjurkan ini dapat membantu Pusat Darah Negara memenuhi misi bagi memastikan  bekalan darah yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

”Pelbagai keistimewaan diberikan kepada penderma darah bagi menghargai jasa baik dan pengorbanan penderma darah. Ia juga bertindak sebagai insentif bagi menggalakkan penderma darah baru untuk meneruskan amalan mulia ini sebagai penderma darah tetap,” tambahnya.

Sarizan Umar, guru SMK Rusila

Sarizan Umar, guru SMK Rusila

Untuk rekod, di bawah peruntukan keistimewaan ini, penderma darah diberikan rawatan pesakit luar dan perubatan serta wad secara percuma di hospital atau klinik kerajaan dan tempoh sah perkhidmatan rawatan percuma adalah dikira dari tarikh terakhir pendermaan darah sehingga tempoh yang ditetapkan, iaitu empat bulan hingga 10 tahun manakala tempoh tersebut bergantung kepada bilangan pendermaan darah yang telah dilakukan dan kekerapan pendermaan.

EM

Tinggalkan komen anda