Skip to main content
HomeJohor

Keunikan Kampung Banjir Bersatu

By 9 April 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Suriani Wasilah (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 9 Apr (MalaysiaAktif) – Nun jauh di pedalaman di sebalik ladang kelapa sawit berkeluasan 5,000 ekar di Yong Peng, Batu Pahat terletaknya sebuah kampung yang diberi nama kampung Banjir Bersatu.

Kampung yang dibuka oleh Mean Naim, 89, terletak di antara sempadan daerah Batu Pahat dan daerah Kluang mendapat nama dari kisah banjir yang sering berlaku di awal penerokaannya pada tahun 1983 kerana tiada sistem perparitan moden pada ketika itu.

Awalnya, kampung tersebut didiami seramai 128 orang penduduk, kemudian ramai telah berhijrah setelah membuka kampung rangkaian yang lain.

Aktiviti memancing kolam ikan air tawar sesuai diadakan untuk pengunjung beriadah bersama keluarga

Aktiviti memancing kolam ikan air tawar sesuai diadakan untuk pengunjung beriadah bersama keluarga

Menariknya, kampung Banjir Bersatu hanya didiami seramai empat keluarga sahaja yang 90 peratus ekonominya bergantung kepada penjualan tanaman kelapa sawit dan sayur.

Selain kedudukan kampung yang strategik, landskap yang menarik dan mempunyai tanah yang subur, kawasan ini juga dikenalpasti mempunyai potensi dijadikan agro pelancongan.

Suasananya yang nyaman dan damai serta jauh dari hiruk-pikuk bandar membuatkan kampung ini menjadi destinasi pilihan buat penggemar suasana kampung.

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dijalankan di sini antaranya memancing ikan kolam, sukaneka atas tanah lumpur, aktiviti menyemai anak benih pokok sayur, aktiviti berkubang dalam parit dan lain-lain.

Aktiviti berkubang dalam parit antara aktiviti yang boleh dilakukan di kampung ini

Aktiviti berkubang dalam parit antara aktiviti yang boleh dilakukan di kampung ini

Kebanyakkan aktiviti di sini tidak dapat dirasai di bandar dan tidak hairanlah ianya mendapat sambutan yang baik dari golongan terbabit.

Anak jati kampung ini, Mohamad Nor Izywani Zainal, 25, merupakan pelopor pertama di kampung ini yang telah berjinak-jinak dalam industri penternakan ikan air tawar setelah tamat pengajian.

Melalui Jabatan Perikanan, bantuan berbentuk pembinaan sangkar ternakan ikan telah banyak membantu beliau untuk memajukan perniagaan bersama keluarga.

“Antara ikan yang diternak adalah ikan keli dan talapia. Walaupun hanya bermula dengan dua jenis ikan air tawar ini, pendapatan jualan telah mencecah lebih RM5,000 sebulan,” ujarnya.

ADUN Yong Peng melihat hasil tangkapan kolam ikan air tawar semasa lawatan beliau ke kampung Banjir Bersatu

ADUN Yong Peng melihat hasil tangkapan kolam ikan air tawar semasa lawatan beliau ke kampung Banjir Bersatu

Ini menunjukkan langkah bijak Mohamad Nor menceburi industri ternakan telah membuahkan hasil apabila tidak hanya bergantung kepada penjualan buah sawit setelah kejatuhan harga sawit.

Tambahnya, dia turut terpilih untuk menyertai program Agropreneur Muda yang dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengembangkan lagi perniagaannya. Projek ini turut mendapat perhatian dan sokongan dari ADUN Yong Peng, Chew Peck Choo.

Chew dalam lawatan kerja ke sini berkata, kampung ini mempunyai potensi untuk dimajukan kerana begitu hampir dengan Bandar Kluang.

“Sebagai ADUN kawasan, saya telah mengambil inisiatif memohon jalan tar baru yang akan menghubungkan kampung Banjir Bersatu dengan Bandar kluang yang berjarak hanya sembilan kilometer sahaja setelah saya merujuk kepada permintaan ketua kampung Kangkar Baru untuk menambahbaik keadaan jalan yang menghubung kampung rangkaian dengan jalan utama.

“Ini adalah untuk memudahkan pengangkutan penduduk di sini kerana jalan sedia ada yang menghubungkan kampung ke Batu Pahat mengambil masa perjalanan yang lama iaitu lebih satu jam untuk sampai ke Bandar,” tambahnya lagi.

Izywani (dua dari kiri) dan Mean Naim (empat dari kiri)

Izywani (dua dari kiri) dan Mean Naim (empat dari kiri)

Ketua Kampung Kangkar Baru, Jumali Salan, 58, ketika dihubungi berkata sebagai ketua masyarakat di sini, apa sahaja bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan akan diterima dengan tangan yang terbuka demi kebaikan dan kemajuan kampung ini.

EM

Tinggalkan komen anda