Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajaya

Perjuangan untuk Rakyat Sabah, Sarawak Tetap Diteruskan – Liew

By 10 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata beliau tidak akan berputus asa dan akan meneruskan perjuangan untuk rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak susulan kegagalan usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata tindakan segelintir anggota Parlimen yang tidak mengundi bagi kelulusan pindaan itu merupakan satu tindakan tidak wajar dan merugikan rakyat.

“Saya tidak akan putus asa, perjuangan rakyat akan diteruskan sampai penghujung pindaan ini. Saya harap bahawa rakyat dapat lihat apa yang telah dilakukan pihak pembangkang hari ini.

Ini akan disejarahkan di mana generasi kita boleh lihat bahawa mereka telah menolak usul ini. Saya amat sedih kerana ini peluang keemasan untuk kita mengembalikan status ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963, gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di Dewan Rakyat malam ini.

Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu kekurangan 10 undi untuk memperoleh sokongan majoriti; 148 undi daripada 222 anggota Parlimen iaitu dua pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melahirkan kekecewaan atas kegagalan pindaan berkenaan kerana ia telah sekian lama dinantikan rakyat Sabah.

“Anda boleh bayangkan, dalam perkara yang sangat penting kami tidak boleh bersetuju dan mengundi untuknya apatah lagi perkara-perkara lain. Sudah 55 tahun, kami menanti dalam masa yang sungguh lama … kami tidak mengatakan kami perlu terburu-buru tetapi ini sudah 55 tahun, ini sangat penting,” kata beliau yang juga Anggota Parlimen Semporna.

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata Sabah tetap akan meneruskan tuntutan yang dibuat sebelum ini seperti tuntutan royalti minyak 20 peratus, walaupun melihat usaha mendapatkan tuntutan itu akan lebih berliku berikutan kegagalan pindaan Perlembagaan Persekutuan malam ini.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda