Skip to main content
Berita TempatanHomeNegeri SembilanPutrajaya

Model Perniagaan Baharu Dalam Kertas Putih Felda – Azmin

By 10 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

SEREMBAN, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Kertas Putih Felda yang akan dibentangkan di Parlimen, Rabu ini, antara lain mencadangkan satu modal perniagaan baharu pengurusan ladang Felda dan jaminan bantuan kebajikan bagi golongan peneroka tanah rancangan itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, draf Kertas Putih berkenaan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Jumaat lalu.

“Perbincangan itu bukan sahaja memperhalusi masalah kekangan kewangan Felda tetapi langkah yang akan diambil untuk menjamin masa depan peneroka,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, malam ini.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata Kertas Putih Felda penting bagi mendedahkan keadaan sebenar kewangan Felda berdasarkan laporan audit forensik yang disediakan oleh sebuah firma audit bebas profesional.

Katanya, peneroka harus tahu keadaan sebenar pengurusan lama yang menurutnya ‘curang’, tidak bertanggungjawab dan menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhan Felda.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut mempersoal tindakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan dan salah laku dalam pengurusan Tabung Haji.

Beliau berkata masalah itu timbul sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Penyelewengan dalam Tabung Haji itu telah ditegur Bank Negara sebelum ini, Mengapa tatkala itu, Pemuda UMNO enggan bersuara, enggan mendesak untuk penubuhan RCI,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda