Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

Klinik An-Nur Tawar Rawatan Pakar Kepada Kurang Mampu

By 12 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 11 Apr (Malaysiaaktif) –  Klinik Wakaf An-Nur yang beroperasi di perkarangan Masjid Jamek Seberang Jaya merupakan klinik yang pertama di Pulau Pinang yang memberikan perkhidmatan pakar dengan bayaran serendah RM5 untuk satu sesi rawatan.

Klinik ini yang mula ditubuhkan pada tahun 1998 di Plaza Kotaraya Johor Bahru kini telah mempunyai 24 cawangannya di seluruh negara.

Dato Ir.Ahmad Zakiyuddin menandatangani plak perasmian Klinik Wakaf An-Nur

Dato Ir.Ahmad Zakiyuddin menandatangani plak perasmian Klinik Wakaf An-Nur

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato Ir.Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di dalam ucapan perasmiannya pagi tadi merakamkan penghargaan kepada Hospital Pakar KPJ dan Perbadanan Wakaf Johor yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam menubuhkan klinik berkonsepkan wakaf ini.

Ini merupakan manifestasi konsep Islam Rahmat Ke Seluruh Alam yang dijadikan asas pentadbiran oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sekarang, katanya.

Ini juga adalah satu usaha yang sangat murni dalam menyalurkan perkhidmatan perubatan kepada pesakit yang kurang berkemampuan tanpa mengira agama dan bangsa pada harga yang paling minimum iaitu RM5 sahaja, tambahnya.

Antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian

Antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian

Institusi wakaf dilihat turut mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang murah kepada masyarakat, walaupun terdapat hospital kerajaan dan swasta, katanya lagi.

Klinik Wakaf An-Nur dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dengan anggota yang terdiri daripada doktor, jururawat dan ubat-ubatan yang disediakan oleh pihak KPJ Pulau Pinang.

Sepanjang pengoperasian klinik ini sejak Januari 2018 hingga Februari tahun ini direkodkan seramai 271 pesakit telah menerima rawatan iaitu 233 Melayu, 13  India, 11 Cina dan lain-lain bangsa 14 orang yang diklasifikan sebagai golongan kurang berkemampuan.

Turut hadir pada majlis perasmian ini adalah Dr.Afif Bahardin Exco Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dato Abdul Malik Abu Kassim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Ketua Eksekutif KPJ Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pulau Pinang dan Pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya.

Tinggalkan komen anda