Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Kayuh Lebih 2,000km Edar Yasin

By 13 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Mahazir Abu Hassan/Che Saad Nordin (Baling)

BALING, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan, tiga pengayuh basikal, Che Saad Nordin, 69, dari Baling Kedah, Abdul Halim Talha, 52, dari Kepong, Selangor dan Azwan Arsad, 45, dari Sungai Buluh, Selangor memulakan misi berkayuh sejauh kira-kira 2,000km, hari ini di sini.

Menurut ketua Misi Kayuhan Menjelang Ramadan, Che Saad Nordin, misi utama kayuhan ini adalah untuk mengedar surah Yasin kepada orang ramai yang terpilih di samping mempromosikan daerah Baling.

“Walaupun tanpa sebarang tajaan kita membeli sendiri surah Yasin ini untuk diedarkan kepada orang ramai dan kami juga amat berharap sepanjang kayuhan ini ada pihak yang sudi menyumbangkan surah Yasin untuk kami edarkan,” katanya.

Saad bersedia memulakan ekspedisi Misi Kayuhan Menjelang Ramadan ini.

Saad bersedia memulakan ekspedisi Misi Kayuhan Menjelang Ramadan ini.

Seorang lagi peserta kayuhan Abdul Halim Talha, berkata beliau amat bersyukur dapat sama-sama menjayakan misi ibadah ini.

“Saya amat berbangga ketua misi kayuhan ini mempunyai idea unik yang tidak pernah dibuat oleh orang dengan mengedarkan surah Yasin sambil mengayuh basikal,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Daerah Baling Datuk Ismail Abu Bakar berkata misi kayuhan dalam negara seperti ini perlu lebih banyak dilakukan terutama sekali dalam mempromosikan daerah ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta kayuhan ini yang bukan sahaja membuktikan usia bukan penghalang untuk berkayuh sambil membuat amal dan berharap sepanjang kayuhan mereka dapat dijadikan contoh kepada anak-anak muda,” katanya yang ditemui ketika melepaskan peserta kayuhan.

Kayuhan sejauh kira-kira 2,000km bermula dari daerah Baling Kedah ke Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan serta Selangor dan dijangka tamat dua hari sebelum Ramadan.

-SH

Tinggalkan komen anda