Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Demonstrasi Cegah dan Tangani Api, Input Penting Musim Kemarau

By 14 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Siti Fazilah Derahman / Yuslina Ibrahim(Pasir Mas)

PASIR MAS, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Musim kemarau panjang yang melanda sebahagian besar negeri Kelantan, mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap kemungkinan berlaku kebakaran.

Sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan kebakaran di musim kemarau serta saranan Kerajaan agar memberi pendedahan awal mengenai kebakaran dan langkah pencegahan, khususnya kepada golongan muda, Pusat Maklumat Rakyat (PMR), Pejabat Penerangan Daerah Pasir Mas dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Mas telah mengadakan taklimat dan demonstrasi cegah kebakaran kepada seramai 50 orang pelajar daripada Kelab Malaysiaku Daerah Pasir Mas.

Melalui program ini, peserta didedahkan dengan maklumat berkaitan punca serta cara memadam kebakaran yang dikongsi oleh Pegawai Bomba Kanan II, Azmi bin Ibrahim.

Maklumat ini boleh menjadi input atau pengetahuan dan persiapan kepada pelajar apabila berdepan situasi kecemasan semasa kebakaran.

Pelajar berpeluang memadam api dengan cara yang betul dengan tunjuk ajar pegawai bomba.

Pelajar berpeluang memadam api dengan cara yang betul dengan tunjuk ajar pegawai bomba.

“Kebolehan mengawal perasaan panik amat penting dalam memastikan kita tidak tersilap langkah dalam tindakan bagi menyelamatkan nyawa dan harta semasa kebakaran,” tegas Azmi semasa sesi taklimat.

Menurut beliau, simbahan air tidak dapat memadamkan kebakaran malahan akan mencetuskan lagi kemarakan api kerana wap air akan menyebarkan percikan api ke tempat lain dan menjadi semakin marak serta cepat merebak sekiranya di kawasan berhampiran mempunyai bahan mudah bakar.

Pertunjukan demonstrasi yang diadakan sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada pelajar apabila berdepan situasi sebenar kebakaran dan mereka juga mendapat pengalaman apabila secara sukarela mencuba menggunakan alat pemadam api semasa acara demonstrasi.

Nur Karmila Berhaudin, 17 salah seorang peserta Kelab Malaysiaku teruja apabila mendapat pengalaman merasai sendiri cara untuk memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam yang disediakan.

“Ini merupakan pertama kali bagi saya menggunakan alat ini dan merasa seperti berada dalam situasi sebenar apabila berlaku kebakaran,” katanya.

“Penganjuran program ini diharap memberikan impak kepada peserta serta pengetahuan dan pengalaman baharu kepada pelajar sekolah apabila berhadapan situasi kebakaran, khususnya menggunakan kaedah yang betul untuk membantu semasa berlaku kebakaran,” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda