Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Tabung Haji Kebanggaan Malaysia

By 14 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Suhaimi Nik Wil/Zulfadli Abd Hamid(Kuala Krai)

KUALA KRAI, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Keputusan Tabung Haji (TH) membayar hibah 1.25 peratus kepada pendepositnya telah mencetuskan pelbagai reaksi banyak pihak kerana ini merupakan hibah terendah dibayar sepanjang penubuhannya.

Langkah ini terpaksa diambil bagi memperbetulkan semula kedudukan kewangan TH agar berada pada landasan yang betul dan sepatutnya walaupun ia bukan tindakan yang popular.

Sazali Ibrahim, 52, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Krai, ketika ditemubual berkata pendeposit TH perlu tabah dan banyak bersabar, anggaplah ini sebagai satu dugaan yang perlu ditanggung tanpa menarik balik simpanan mereka di dalam TH ke institusi perbankan yang lain demi untuk memperkukuhkan sistem kewangan Islam di negara ini.

“Umat Islam janganlah bersedih dengan pembayaran hibah rendah diumumkan TH untuk tahun 2018, teruslah memberi sokongan padu kepada TH agar ianya menjadi institusi kewangan yang kukuh di Malaysia,” katanya semalam.

“Untuk mendapatkan subsidi dari TH ketika menunaikan fardu haji maka wajarlah umat Islam kekal menyimpan di TH dan sekiranya sebilangan besar pendeposit menarik diri, TH akan terjejas,” tambahnya.

“Sekiranya TH tumbang akan lenyaplah sebuah institusi Islam yang gagah dan hebat selama ini yang menjadi kebangaan rakyat Malaysia beragama Islam, pengurusan yang telus lagi berintergriti amat lah diperlukan untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada Tabung Haji,” katanya mengakhiri temubual berkaitan hibah TH.

Norizan Yusoff , 51, salah seorang pendeposit TH ketika ditemui berkata sama-samalah kita pertahankan TH agar terus gagah berdiri menjadi sebuah institusi kewangan Islam yang unggul dan dihormati di seluruh dunia.

“Selain dari Bank Islam, TH merupakan tempat umat Islam menyimpan wang mereka bagi tujuan menunaikan ibadat haji dan sebagai pelaburan,” katanya.

“Mufti Kelantan sendiri telah menyatakan pendiriannya agar umat Islam terus mempertahankan Tabung Haji dan hibah yang rendah bukanlah satu isu besar kerana tujuan sebenar pendeposit ialah untuk menunaikan haji bukan mencari keuntungan,” ujarnya lagi.

-NAZ

Tinggalkan komen anda