Skip to main content
Berita TempatanHomeTerengganu

Keindahan Cemerong Berembun Langsir Menggamit Penggemar Aktiviti Lasak

By 16 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Suasana pergunungan Hutan Lipur Cemerong sering menarik perhatian kalangan pencinta alam dan penggemar aktiviti mendaki menghabiskan masa menikmati suasana indah, tenang dan mendamaikan.

Ia turut mengujakan kalangan peminat seni fotografi bagi mengabadikan suasana sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Berembun, melalui air Terjun Cemerong yang tertinggi di negara ini dan bermalam atau berkhemah di Kem Langsir.

Pendakian CBL (Cemerong Berembun Langsir) baru-baru ini turut dilakukan oleh sekumpulan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Jelebu untuk menjalankan ekspedisi penggambaran.

Taman Bonzai salah satu tempat menarik sepanjang pendakian

Taman Bonzai salah satu tempat menarik sepanjang pendakian

Pendakian bermula dari Hutan Lipur Chemerong yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Al-Muktafi billah Shah, Dungun disertai seramai sembilan orang pendaki, selama tiga hari, baru-baru ini.

Menurut pengelola program Mahadi Mustafa, 44, ekspedisi CBL merupakan aktiviti yang dirancang sejak enam bulan lalu dengan mengumpul rakan-rakan lama yang berminat dalam aktiviti lasak.

“Hari pertama explorasi pendakian, semua peserta menuju ke air terjun Cemerong bagi merakamkan gambar pemandangan dan seterusnya ke Kem Balak untuk bermalam.

Kejernihan air Sungai Bangan yang mengujakan sesiapa sahaja

Kejernihan air Sungai Bangan yang mengujakan sesiapa sahaja

“Manakala pada hari kedua, peserta bergerak menuju ke Sungai Bangan dan bermalam di Kem Langsir,” katanya.

“Aktiviti hari ketiga bermula dengan merakam gambar matahari terbit dan awan karpet di sekitar Kem Langsir.

“Pengisian hari terakhir diteruskan dengan pendakian ke puncak Berembun yang berketinggian 1,038 meter (3,405 kaki) melalui bantuan malim gunung,” ujarnya lagi.

Suasana pagi yang nyaman di Puncak Langsir

Suasana pagi yang nyaman di Puncak Langsir

Kalangan peserta menyifatkan ekspedisi tersebut sebagai sesuatu yang memberikan kepuasan apabila dihidangkan dengan pemandangan air terjun mengasyikkan, sungai jernih yang mengalir, warna-warni langit pagi dan senja serta udara sejuk ketika berada di puncak.

Salah seorang peserta, Mazli Hisham Ibrahim, 44, berkata penyertaan kali pertamanya dalam ekspedisi seumpama itu merupakan satu kepuasan terutama apabila dia sempat merakam gambar matahari terbit.

“Untuk mendapatkan gambar matahari terbit, kami menunggu seawal pukul 6.30 hingga 9 pagi dan alhamdulillah diberikan rezeki merakamkan momen indah itu,” katanya.

Mazli (bertopi) bergambar kenangan bersama rakan

Mazli (bertopi) bergambar kenangan bersama rakan

Mungkin orang ramai tidak mengetahui kewujudan CBL ini, namun yang pastinya Dungun kini menjadi salah satu pilihan destinasi pelancongan terutamanya kepada peminat aktiviti lasak dan pencinta seni keindahan alam.

EM

Tinggalkan komen anda