Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

KKMM Sedang Distruktur Semula Untuk Tambah Baik Perkhidmatan, Penyampaian – Gobind

By 17 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menjalani penstrukturan semula dan penambahbaikan beberapa jabatan serta agensi bagi meningkatkan perkhidmatan dan sistem penyampaian kepada rakyat, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pada masa ini kementerian sedang menstrukturkan semula Jabatan Penerangan selain menambah baik perkhidmatan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Proses ini akan mengambil masa untuk selesai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 612 penerima, di sini hari ini.

Mengulas dakwaan Pemuda PKR bahawa kekurangan maklumat dan capaian saluran kerajaan antara faktor kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Rantau, Sabtu lepas, Gobind mengulangi ikrarnya untuk terus meningkatkan perkhidmatan dan penyebaran maklumat tepat kepada rakyat melalui jabatan dan agensi berkaitan.

“Kami sedang melakukan yang terbaik. Saya rasa anda boleh lihat peningkatan telah yang dicapai dalam tempoh beberapa bulan lepas,” katanya, menambah masih banyak yang perlu dibuat dan beliau yakin ia boleh dilakukan.

“Kami akan buat yang terbaik untuk penambahbaikan pada bulan-bulan mendatang,” katanya.

Mengenai kedudukan majlis media, Gobind berkata beliau akan berhubung dengan Penasihat Khas mengenai Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin mengenai isu itu selain dimaklumkan bahawa pihak berkepentingan sudah bersedia untuk mengemukakan cadangan mereka kepada beliau.

“Saya akan maklumkan kepada media jika ada perkembangan mengenai majlis media khususnya berhubung keputusan yang dibuat serta cadangan-cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau tentang ahli politik menyaman media, Gobind berkata ada peruntukan undang-undang bagi individu termasuk ahli politik untuk menyaman media bagi membersihkan nama mereka yang tercemar.

“Pendirian saya ialah jika laporan yang ditulis mengenai seseorang individu dirasakan tidak adil terhadapnya, dia boleh berhubung dengan wartawan untuk membuat pembetulan. Masalah akan selesai di situ.

“Namun, jika individu itu masih tidak berpuas hati dengan pembetulan yang dibuat dan berasa dia difitnah, maka dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan terbabit,” kata Gobind yang juga Naib Pengerusi DAP.

Sabtu lepas, Lau dilaporkan berkata parti itu akan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang menyaman media berhubung laporan selain menyindir ahli politik tertentu yang gemar menyaman media.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda