Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perlis Antara Negeri Terawal Beri Suntikan Vaksin COVID-19 untuk Ibu Hamil

By 28 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 224 orang ibu hamil di negeri ini yang telah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera mula menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan 2020 Kangar.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof, Perlis merupakan antara negeri terawal yang melaksanakannya selain Kuala Lumpur.

“Dewan 2020 merupakan PPV yang disediakan khusus untuk ibu hamil yang mana di situ telah disediakan bilik khas untuk proses vaksinasi.

“Bagi fasa pertama di negeri ini, sebanyak 10,000 orang ibu hamil akan menerima suntikan dos pertama dan saya difahamkan 106,000 orang ibu hamil di seluruh negara telah mendaftar di aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke PPV Dewan 2020, di sini semalam.

Tambah beliau, di bilik konsultasi para petugas kesihatan akan membuat kiraan secara manual bagi memastikan hanya ibu hamil dengan usia kandungan 13 hingga 33 minggu sahaja dibenarkan menerima vaksin, manakala usia kandungan melebihi 33 minggu dinasihatkan untuk menerima vaksin selepas bersalin.

Di bilik konsultasi para petugas kesihatan akan membuat kiraan secara manual bagi memastikan hanya ibu hamil dengan usia kandungan 13 hingga 33 minggu sahaja dibenarkan menerima suntikan vaksin.

Para petugas kesihatan akan membuat kiraan secara manual bagi memastikan hanya ibu hamil dengan usia kandungan 13 hingga 33 minggu sahaja dibenarkan menerima suntikan vaksin.

“Saya berharap ibu hamil yang telah menerima tarikh temu janji dapat hadir mengikut masa yang telah ditetapkan dan mereka akan diberi ruangan khas serta perlu melalui kaunter konsultasi.

“Ketika di bilik konsultasi, pegawai perubatan akan memberi penjelasan tentang suntikan dan vaksin yang akan diterima serta memeriksa tahap kesihatan mereka yang hadir untuk menerima vaksin,” ujarnya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Keluarga Perlis Dr. Izwana Hamzah, berkata setakat sesi pada hari ini, 18 orang ibu hamil dibenarkan menerima suntikan vaksin manakala tiga orang lagi yang kandungan mereka melebihi 33 minggu dinasihatkan untuk menerimanya selepas bersalin.

“Mereka yang telah mengambil suntikan dos pertama vaksin akan menerima dos kedua sebelum atau selepas bersalin,” ujarnya lagi.

Izwana menjelaskan setiap ibu hamil yang hadir untuk menerima suntikan perlu ke bilik konsultasi untuk para petugas membuat kiraan tepat jumlah minggu kandungan dan mereka juga perlu menandatangani borang kebenaran untuk menerima suntikan vaksin.

“Ibu mengandung dan menyusu anak boleh mengemas kini status mereka di aplikasi MySejahtera dengan memasukkan bulan dan tahun kelahiran atau status penyusuan.

“Saya menyarankan ibu-ibu yang telah bersalin untuk segera menerima suntikan vaksin sebaik sahaja mereka kembali sihat bagi melindungi diri dan ahli keluarga dari jangkitan COVID-19,” katanya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda