Skip to main content
HomePutrajaya

Putrajaya Contoh Penanda Aras Pembangunan Dan Pengurusan Bandar Tersusun – Muhyiddin

By 29 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Putrajaya, sering dijadikan contoh dan penanda aras oleh negara-negara luar dalam pembangunan dan pengurusan bandar tersusun serta kerap mendapat pujian daripada ketua-ketua negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sepanjang 25 tahun sejak pelancarannya, Putrajaya semakin berkembang maju sebagai bandar raya bukan sahaja pada aspek pembangunan fizikal tetapi juga aspek pembangunan sosioekonomi.

“Pada hari ini kita semua amat bertuah kerana berpeluang melihat pelbagai mercu tanda dan kejayaan yang telah dicapai. Malah Putrajaya memperoleh pelbagai pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya serta mengucap syabas kepada Perbadanan Putrajaya ketika melancarkan Terbitan Khas Jubli Perak Putrajaya (duit syiling peringatan dan setem keluaran khas), di sini semalam.

Muhyiddin berkata terbitan khas berkenaan akan diabadikan dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai penghormatan yang diberikan bukan sahaja kepada Putrajaya tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Penerbitan Duit Syiling Peringatan Jubli Perak Putrajaya merupakan kolaborasi di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bank Negara Malaysia (BNM), melibatkan dua jenis terbitan iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U).

Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf) diperbuat daripada logam perak berketulenan 99.9, seberat 31.1 gram setiap keping dengan nilai muka RM10 dan harga jualannya RM253 sekeping, dengan jumlah tempaan sebanyak 1,000 keping.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated pula diperbuat daripada campuran beberapa logam terutamanya tembaga dalam kemasan tanpa kilat dengan berat setiap keping ialah 8.5 gram dan nilai mukanya ialah RM1 pada harga jualan RM13.20 sekeping, dengan hanya 15,000 keping ditempa.

Penerbitan setem keluaran khas yang memaparkan bangunan ikonik Putrajaya iaitu Perdana Putra, Istana Kehakiman, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Jambatan Seri Gemilang pula merupakan usaha sama di antara Pos Malaysia dan PPj.

Setiap setem membawa denominasi RM1.30 dengan 250,000 keping setem akan dikeluarkan bagi setiap reka bentuk. Setem keluaran khas itu juga disertakan bersama Sampul Surat Hari Pertama dengan setem cetakan terhad sebanyak 30,000 helai yang boleh dibeli pada harga RM7 setiap satu.

Kedua-dua penerbitan khas tersebut iaitu duit syiling peringatan dan setem keluaran khas akan mula dijual kepada orang ramai pada bulan depan.

Dibangunkan di atas kawasan yang dinamakan Prang Besar di Selangor yang  asalnya ladang kelapa sawit dan kawasan hutan, Putrajaya yang kini dipenuhi bangunan ikonik dan pelbagai kementerian, dilancarkan pada 29 Ogos 1995 dan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga pada 1 Feb 2001.

“Saya mendoakan Wilayah Persekutuan Putrajaya terus gemilang di persada dunia,” kata Muhyiddin.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda