
GEORGE TOWN, 11 Okt (Malaysiaaktif) — Seorang ejen insurans yang sedang memandu bersama isterinya untuk mengambil anak mereka dari sekolah terkejut apabila seorang penunggang motosikal meluru ke arah kereta mereka dengan memegang helmet.
Ini dipaparkan dalam video berdurasi 1.26 minit yang menjadi viral sejak Khamis.
Apabila merasakan dirinya dalam bahaya, ejen insurans itu memecut kereta dan melanggar penunggang motosila tersebut.
Ketua Polis Georgetown, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3 petang Khamis.
“Wakil insurans itu membelok dari Jalan Air Itam untuk membuat belok U ke arah Jalan Datuk Keramat apabila penunggang motosikal berkenaan mengetuk cermin tingkap bahagian penumpang.
“Penunggang motosikal itu cuba menghentak kereta tersebut, tetapi pemandunya mengelak dan menekan minyak.
“Penunggang tersebut memotong kereta dan memberhentikan motosikalnya di tepi jalan.
“Apabila kereta menghampirinya, penunggang tersebut menanggalkan topi keledar dan meluru ke arah kereta secara provokasi dan menyerang,” kata ACP Mior.
“Kereta kemudian melanggar penunggang motosikal tersebut hingga jatuh ke jalan.
“Ejen insurans itu kemudian terus memandu tanpa henti ke sebuah balai polis dan membuat laporan, “kata ACP Mior di Ibu Pejabat Polis Daerah Georgetown di Jalan Patani semalam.
“Suspek sudah dikenalpasti, “tambah beliau.
Menurut ACP Mior, kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana intimidasi jenayah dan melakukan khianat.
Beliau tidak menolak kemungkinan suspek berniat untuk merompak pasangan berkenaan.