Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Generasi Muda Pelakar, Penerus Kesinambungan Budaya

By 29 Mac 2019Tiada komen4 minit bacaan
Laporan/Foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat(Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Sungguh asyik menghayati lemah gemalai tarinya, lembut mengikut rentak irama yang dimainkan, dipadankan dengan busana tradisi yang indah menyerlahkan lagi pesona si gadis jelita.

Memang persembahan itu penyumbang markah, begitu juga soalan-soalan menduga minda yang perlu dijawab oleh para peserta, namun adakah mereka benar-benar faham dan tahu akan budaya tradisi mereka yang perlu dibela sehingga bila-bila?

Busana Sipak Samah yang dikenakan bersama pasangan tarinya.

Busana Sipak Samah yang dikenakan bersama pasangan tarinya.

Melihat para peserta Ratu Etnik Bajau Borneo yang bersaing, rata-rata masih muda, di usia yang kita harapkan mampu mewarisi budaya dan tradisi etnik yang pelbagai, yang bukan sahaja melalui pakaiannya, malahan tarian, makanan, bahasa mahupun karya seni.

Berbual dengan pemenang First Runner Up dan Queen Best Talent, Nor Syawaliah Abdul Rahman, 17, ternyata memiliki keperibadian yang menarik dan boleh diharapkan sebagai pewaris budaya.

Nor Syawaliah ( tiga dari kanan) bersama adik beradiknya (tengah dan kanan).

Nor Syawaliah (tiga dari kanan) bersama adik beradiknya (tengah dan kanan).

Menurut Nor Syawaliah, generasi muda ialah pelakar dan penerus kesinambungan budaya malahan, budaya dan warisan bangsa tidak seharusnya dilihat sebagai satu perkara remeh atau kecil, sebaliknya ia adalah perkara yang perlu diisi di setiap jiwa anak bangsa.

“Ini dapat mewujudkan satu ikatan yang merapatkan rasa kebersamaan dan menjadi citra yang menimbulkan rasa cinta juga setia kepada bangsa.

“Bahkan sebagai generasi muda, kita perlu belajar menghargai warisan bangsa kerana ia adalah sesuatu yang amat berharga kerana melalui peninggalan ini ia bukanlah sesuatu yang tercipta sehari dua dan bukanlah yang boleh diubah dan ditukar sesuka hati.

Antara persembahan yang ditarikan oleh Nor Syawaliah.

Antara persembahan yang ditarikan oleh Nor Syawaliah.

“Dan yang lebih penting ia berharga kerana sarat dengan makna dan mewakili perkara besar dalam masyarakat kita,” ujarnya bersemangat.

Nor Syawaliah turut beranggapan penganjuran berkonsepkan Ratu Etnik Bajau mampu memperkenalkan budaya tradisi kepada orang luar kerana semestinya ramai yang akan datang dan melihat, malahan menerusi laman sosial juga.

“Di situ kita telah menonjolkan keunikan etnik bangsa kita contohnya saya sendiri memperagakan busana Badu Sipak Samah, selain itu ada juga yang memperagakan Badu Sampit, baju Ala Bimbang serta baju yang mewakili kaum Binadan.

Soalan Uji minda yang perlu dijawab oleh setiap peserta bagi menguji pengetahuan.

Soalan Uji minda yang perlu dijawab oleh setiap peserta bagi menguji pengetahuan.

“Istimewanya baju yang saya pakai mempunyai rangkit yang asli tidak seperti baju peserta lain, rangkit yang di diinspirasikan daripada corak bunga yang dipanggil kembang suri dan pucuk rebung di mana satu persalinan itu bernilai RM550.

“Menyarungkan busana itu tidak susah, hanya serimpak yang diletakkan di atas kepala itu perlukan masa untuk dipakai kerana ada peraturannya, perlu ukuran dan jarak yang betul dari dahi, sanggul juga perlu padat dan cara mengikatnya juga tidak boleh sesuka hati,” kongsinya.

Pemenang-pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.

Pemenang-pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.

Katanya, aksesori wajib yang perlu ada dalam busana tradisi tersebut ialah serimpak, mandapun/andapun, ingkot pangkat, supu, keku dan olos berangkit.

“Baju yang saya pakai sangat istimewa, perbezaan yang ketara terutama sekali ialah warnanya kerana baju saya diperbuat dari songket berwarna hitam hingga menyerlahkan auranya tersendiri.

“Saya juga mengenakan aksesori yang dipanggil supu yang bergantung berdekatan tali pinggang beserta loceng kaki sebagai tambahan, namun kini sangat jarang yang mengenakan supu dan loceng kerana sukar diperoleh,” kata Nor Syawaliah.

Busana Ubian yang disulam sendiri oleh Nor Syawaliah.

Busana Ubian yang disulam sendiri oleh Nor Syawaliah.

Apa yang manis, busana Ubian berwarna merah yang dikenakannya pada hari pertama disulam sendiri dengan motif tradisi suku etniknya.

Menurut Nor Syawaliah, sebelum ini ketika dia giat menari, cikgu tariannya tidak hanya mengajar mereka seni tarian semata tetapi banyak benda antaranya menyulam baju di mana setiap kali ada pertandingan yang ingin disertai, mereka akan jahit baju sendiri.

Ibu, bapa dan adik-beradik yang tidak jemu memberi sokongan padanya.

Ibu, bapa dan adik-beradik yang tidak jemu memberi sokongan padanya.

Dalam pada itu, sebagai finalis, bakat mereka juga diuji dengan menarikan dua tarian yang mewakili etnik pantai timur dan pantai barat yang dipanggil Kuda Pasu, Limbai dan Igal-Igal.

Justeru, sebelum menyertai pertandingan tersebut, Nor Syawaliah turut melakukan beberapa persediaan terutama sekali dengan melatih diri sendiri agar tidak berasa gementar semasa berada di atas pentas.

Kemenangan Nor Syawaliah dikongsi bersama adik beradiknya.

Kemenangan Nor Syawaliah dikongsi bersama adik beradiknya.

“Dalam masa yang sama saya juga perlu membiasakan diri untuk bercakap dengan lebih lancar dan tidak teragak-agak, supaya tidak gementar, saya membayangkan diri saya sebagai seorang puteri di sebuah istana kerana itu ialah konsep di pentas peragaan bagi penganjuran sebegini.

“Selain itu, saya juga turut membaca dan merekodkan tentang budaya dan tradisi warisan bangsa sebagai persediaan bagi pusingan uji minda,” katanya yang menyertai pertandingan Ratu Etnik Borneo bersama dua orang kakaknya.

Nor Syawaliah bergambar kenangan bersama semua peserta, perasmi dan penganjur.

Nor Syawaliah bergambar kenangan bersama semua peserta, perasmi dan penganjur.

Nor Syawaliah turut mencadangkan agar diwujudkan sistem dan tempat khusus yang dapat merekodkan segala kekayaan budaya bangsa supaya dapat disimpan dan dipelihara dengan cara yang terbaik.

Ini adalah untuk membantu memartabatkan etnik ini supaya tidak hilang identitinya ditelan zaman, usaha dan inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan budaya bangsa Bajau kekal seiring dan berkembang, malahan berupaya menjadi sebuah identiti bangsa yang terus dibanggakan.

EM

Tinggalkan komen anda