Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat (Sabah)
Kota Kinabalu, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Mencipta roket daripada bahan terbuang antara tarikan yang dapat dilihat di Sekolah Kebangsaan Lampada, Kota Marudu sempena penyertaan dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan.
Penggunaan botol mineral dan kulit siput pula digunakan oleh peserta Anjung Komuniti Kuala Abai di Kota Belud selain membina Kereta Kebal dan Meriam menggunakan buluh oleh peserta di Kampung Pukat, Tawau.
Kesungguhan dan semangat yang membara dapat dilihat daripada hiasan berwarna-warni serta kreativiti berbeza menggunakan bahan terbuang yang dihasilkan saban tahun pasti memberi cabaran kepada ahli panel untuk membuat penilaian.
Lawatan Penilaian sempena pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Sabah ini berjalan lancar selama dua hari bermula Khamis lepas di seluruh negeri.
Penilaian terbahagi kepada enam bahagian iaitu Tawau, Sandakan, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pedalaman Atas dan Pedalaman Bawah merangkumi 10 kategori yang dipertandingkan mengikut kreativiti yang dipersembahkan oleh para peserta.
Guru Besar S.K Lampada, Peter Gonsoi berbangga kerana cabarannya pada guru matapelajaran sains untuk menganjurkan pertandingan rekacipta menggunakan bahan terbuang memberi hasil yang sangat menakjubkan.
“Idea itu wujud daripada cabaran yang kita letakkan kepada guru sains itu sendiri. Kami gabungkan dengan bulan keceriaan yang melambangkan bahawa roket yang terbang keatas umpama semangat patriotisme kita yang sejauh roket itu mampu pergi.
“Melalui aktiviti tersebut dapat mendedahkan murid-murid pengetahuan mengenai pelancaran roket, tambahan lagi mereka digalakkan membinanya menggunakan botol air.
“Hampir 100 orang murid tahap dua yang kami beri peluang untuk menyertai pertandingan ini, supaya mereka ada rasa keterlibatan dan hasil yang terbaik itu kita lancarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini,”jelasnya.
Menurut Peter, pelbagai konsep yang telah mereka buat semenjak dua tahun lalu seperti penggunaan telur dan kotaknya untuk membuat logo bulan kebangsaan.
Manakala pada tahun ini pula mereka menggunakan botol mineral, tayar dan juga bambu yang kita gubah menjadi bunga raya.
“Apa yang paling saya rasa bangga yang perlu ditekankan disini ialah semangat kerjasama dan bersatu padu diantara warga sekolah dan masyarakat kampung juga komuniti-komuniti dan pihak-pihak jabatan khusnya JaPen yang selalu memberikan galakan dan dorongan kepada kami,”luahnya.
Dalam pada itu, Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka ketika dihubungi berkata, melalui penganjuran Pertandingan Keceriaan ini tanpa disedari, barangan terbuang mempunyai pelbagai manfaat jika diguna semula secara kreatif.
“Umpama peribahasa ‘Sambil menyelam minum air’, di samping untuk menggelorakan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, idea kreatif mengitar semula barangan terbuang adalah satu tindakan bijak dalam menangani pencemaran alam sekitar.
“Selain membantu mengurangkan bahan buangan dan pembaziran penggunaan sumber semulajadi, penggunaan bahan terbuang ini mampu mencetuskan idea kreatif yang dapat memberi ilham untuk hasil yang lebih berguna.
“Syabas saya ucapkan kepada semua peserta yang mengambil bahagian kerana penyertaan pada tahun ini amat menggalakkan daripada seluruh masyarakat ke ceruk pedalaman,” katanya.
-FB