
SAN FRANCISCO, 18 Feb – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kepada ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia memiliki kestabilan serta kepastian untuk mereka yang mahu melabur di negara ini.
Perdana Menteri berkongsi kelebihan negara dalam usaha menarik ahli perniagaan AS sewaktu mengadakan bertemu dengan kalangan pemimpin industri negara maju itu di sini, hari ini.
“Sebagai ahli perniagaan, anda pasti mahukan kestabilan serta kepastian dan sebagai Perdana Menteri, saya akan memberi kestabilan dan kepastian ini untuk anda,” katanya berucap pada majlis makan tengah hari di sebuah hotel di San Jose di Silion Valley atau Lembah Silikon, di sini.
Tegas Perdana Menteri, selain menyasarkan pertumbuhan ekonomi mapan antara lima hingga enam peratus setahun, kerajaan Malaysia juga berusaha mencapai bajet seimbang serta pengurusan kewangan yang berhemat.
“Kerajaan dapat mencapai defisit bajet sebanyak 3.2 peratus tahun lepas berbanding 6.9 peratus pada 2009. Pencapaian ini amat baik biarpun negara sedang berdepan cabaran ekonomi (global) yang ketara,” katanya.
Malah, kata Najib, pasaran saham Malaysia juga kukuh dan negara ini sememangnya mempunyai banyak perkara positif untuk ditawarkan.
“Kita akan melayan keperluan anda kerana ini adalah kerajaan yang amat responsif.
“Kita juga percayakan ekonomi terbuka serta perdagangan yang bebas dan terbuka. Lebih banyak perdagangan bebas yang dapat kita wujudkan maka prospek bagi ekonomi negara juga akan meningkat.
“Malaysia sememangnya bersedia untuk menerima kedatangan anda dan anda mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia,” katanya.
Najib turut membangkitkan kepentingan Malaysia menjalin kerjasama dengan ahli perniagaan di Lembah Silikon berikutan kedudukan mereka di pusat pembangunan teknologi.
Terdahulu, dalam pertemuannya dengan pengurus dana di sini, Najib berkata, selain asas ekonomi yang kukuh, Malaysia turut memiliki ekonomi yang pelbagai serta lebih berdaya tahan berbanding negara sedang pesat membangun lain.
Jelasnya, Malaysia juga akan terus mencapai lebihan akaun semasa serta pengurusan hutang secara berhemat.
Malaysia juga mahu menjadi sebahagian daripada perancang perdagangan global, termasuk menerusi penyertaan dalam gagasan seperti Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), katanya.
Beliau turut melawat ibu pejabat syarikat gergasi teknologi terkemuka, Apple di Cupertino, California dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Operasi Apple, Jeff Williams.
Pada pertemuan itu, Najib mencadangkan penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) rantau Asia Pasifik di Malaysia bagi mencari kaedah inovatif memanfaatkan teknologi mudah alih serta meningkatkan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Perdana Menteri kemudiannya mengunjungi Tesla, pengeluar kereta elektrik di Palo Alto, California dan menghabiskan masa selama sejam di kilang berkeluasan 5.2 juta kaki persegi (kira-kira 483,096 meter persegi) dan mendengar taklimat oleh Naib Presiden syarikat itu, Diarmuid O’Connell.
Najib turut memandu uji kereta terbaharu syarikat itu yang dikenali sebagai “Model X”.
Beliau turut berkongsi persetujuan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kereta elektrik di Malaysia yang tidak menghasilkan sebarang pelepasan karbon.
Malah, buat permulaan, sebanyak 100 kereta elektrik akan diimport ke Malaysia tidak lama lagi.
San Francisco merupakan lokasi terakhir dalam lawatan kerja rasmi Perdana Menteri selama seminggu ke negara ini.
Pada awal kunjungannya, Perdana Menteri sempat menemui masyarakat Malaysia di Los Angeles selain menyertai Presiden AS, Barack Obama dan sembilan pemimpin Asia Tenggara pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN di Sunnylands, California.